Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Futsal AFF: Malaysia tempah tiket ke final
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 7:30 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Skuad futsal negara mencatat pencapaian bermakna semalam, apabila berjaya mara ke perlawanan akhir kejohanan AFF Futsal yang kini berlangsung di Vietnam, untuk kali pertama dalam masa 7 tahun.

Ia selepas skuad kebangsaan mengejutkan tuan rumah dengan keputusan 5-1 pada perlawanan separuh akhir semalam.

Menurut laporan laman Sports247, gol Malaysia tiba seawal minit ke-10 hasil sepakan percuma Mohd Khairul Effendy.

Tiga gol lagi terhasil 5 minit kemudian, hasil jaringan Mohd Khairul (minit ke-12), Mohamad Awaluddin Nawi (minit ke-14) dan Akmarulnizam Mohd Idris (minit ke-15).

Malaysia kemudiannya menambah derita Vietnam apabila berjaya menambah gol kelima menerusi Syed Aizad Daniel pada minit ke 35 sebelum Ngo Ngoc Son menjaringkan gol saguhati untuk pasukan Vietnam pada babak kedua.

Asakan demi asakan daripada kedua-dua pasukan menyebabkan pengadil terpaksa melayangkan tiga kad merah pada separuh masa kedua, melibatkan pemain kebangsaan Abu Haiffa Hasan dan dua pemain Vietnam, Tran Van Vu dan Vu Quac Hung.

Ketua jurulatih Chiew Chun Yong berkata, beliau terkejut dengan permainan yang ditunjukkan anak buahnya sehingga mampu menundukkan Vietnam dengan jaringan yang besar.

"Vietnam adalah sebuah pasukan yang kuat. Tetapi anak-anak buah saya bermain dengan baik hari ini. Mereka mengejutkan saya," katanya seperti dipetik.

Pasukan futsal negara berada pada kedudukan 57 dunia, berbanding Vietnam pada kedudukan 39 dunia.

Ketua Jurulatih Pasukan Vietnam, Miguel Rodrigo pula menyifatkan pasukan bimbingan beliau bagai hilang arah.

"Kami tidak bermain hari ini. Fikiran pemain berada di planet lain. Perlawanan yang terburuk sepanjang kejohanan ini”, katanya.

Malaysia akan bertemu Thailand di perlawanan akhir pada 3 November ini selepas juara 12 kali itu menundukkan Myanmar 8-3.

Lihat Komen
ADS