Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
TMJ nasihat Pemuda Umno Kedah jaga mulut
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 10:28 PM
Dikemaskini: 3:00 PM

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menghalakan kritikan kepada Pemuda Umno Kedah menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah, Sabtu ini.

Beliau turut mensasarkan kelemahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar sebagai punca ketegangan kedua-dua pasukan.

Justeru Tunku Ismail yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menasihati penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak terus bertelingkah.

"Inilah terjadi apabila ada Menteri Besar yang kurang tegas dan terdapat orang bawahan yang buat kerja bukan-bukan termasuklah sengaja ingin menegangkan hubungan kedua pihak demi politik masing-masing," katanya menerusi Facebook.

Semalam, bekas menteri besar Kedah dan Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa tiket perlawanan akhir itu dibedal oleh Pemuda Umno Kedah.

Ketua Pemuda Umno Kedah, Saiful Hazizi Zainal Abidin bagaimanapun hari ini menafikan tuduhan berkenaan sebaliknya mengatakan ia ditimbulkan pihak berkepentingan sebagai modal politik mereka.

"Kita bagi kepada peminat bola sepak, peminat bola sepak ini ada Umno, ada PAS, ada orang DAP, ada orang BERSATU dan ini (dakwaan tiket diagih kepada penyokong Umno) sangat subjektif," katanya.

Tunku Ismail berkata beliau telah meminta Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) untuk melihat kemungkinan mencetak tiket tambahan bagi penyokong Kedah yang gagal mendapat tiket.

Beliau juga mengeluarkan amaran kepada Pemuda Umno Kedah, walaupun tidak jelas apakah ia mempunyai kaitan dengan isu tiket.

"Saya juga ingin menasihatkan kepada pemuda Umno Kedah, jaga sikit mulut anda semua. Di dalam sukan bola sepak kita sepatutnya bermusuh hanya di dalam padang sahaja bukan di luar padang.

"Jangan lupa parti politik awak dilahirkan di mana, dan belajar hormati Institusi. Apabila menjadi ahli politik, tugas anda adalah berkhidmat dan menjadi hamba kepada rakyat, bukan menjadi ahli politik semata-mata untuk kepentingan diri sendiri," katanya.

'Tidak kisah PAS atau Umno'

Sementara itu, Tunku Ismail turut membidas Aminuddin yang juga anggota exco Kedah kerana mengugut tidak akan menghadiri perlawanan akhir Sabtu ini.

Ini selepas FMLLP mencadangkan untuk menjemput Radhi Mat Din, seorang lagenda dan bekas ketua pasukan bola sepak Kedah bagi majlis pembukaan tirai perlawanan akhir berkenaan.

"Ini disebabkan kerana saudara Radhi adalah seorang ahli parti PAS. Saya tidak kisah anda sokong PAS atau Umno kerana yang penting bola sepak atau sukan tiada kena mengena dengan politik.

"Saudara Radhi berhak untuk bersama dengan penyokong Kedah ketika majlis pembukaan tersebut di atas pencapaian beliau membantu Kedah menjuarai Piala Malaysia," katanya.

Malaysiakini sedang cuba untuk menghubungi Aminuddin bagi mendapatkan reaksi beliau.

Kedah sebagai juara bertahan dan pemenang Piala FA bakal berdepan juara Liga Super musim ini, JDT, di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Lihat Komen
ADS