Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, esok malam dikesan dijual semula di atas talian.

Ia dijual dengan harga RM60 RM75, RM100 dan RM150 untuk tiket biasa, RM30 untuk tiket kanak-kanak dan RM300 untuk tiket VIP (termasuk baju piala Malaysia, beg dan lanyard).

Di kaunter dan laman web rasmi ia dijual dengan harga RM50 sekeping.

Semakan di laman jual beli atas talian terkenal Mudah.my bagaimanapun mendapati terdapat penjual menafikan cuba membuat untung dengan menangguk di air keruh.

"Salam sejahtera semua, saya ni bukan ulat tiket ya, sebab I jual last minit batal sebab ada kenduri Sabtu ni.

“Ada dua keping tiket!" tulis individu yang menggunakan nama Shamkumar.

Dia meletakkan harga RM110 bagi dua keping tiket.

Sebelum ini beratus-ratus penyokong pasukan Kedah berkumpul depan pejabat KFA bagi menyatakan kemarahan kerana gagal mendapat tiket bagi menyaksikan Kedah melawan JDT di Shah Alam esok.

Bekas presiden KFA sendiri Datuk Mukhriz Mahathir menempelak pengedaran itu dengan mendakwa Pemuda Umno Kedah antara pihak yang membolot tiket itu – dakwaan yang dinafikan pergerakan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga menyatakan rasa kecewanya pada KFA apabila individu yang menurutnya tiada kena mengena dengan bola sepak mendapat tiket “melalui saluran tertentu”.

KFA semalam mempertahankan bahawa penjualan tiket perlawanan itu dijalankan secara telus.