Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menguatkan tanggapan bahawa mereka adalah 'raja bola' negara selepas dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2017.

Skuad Harimau Selatan tampil menewaskan penyandang juara musim lalu - Kedah dengan keputusan 2-0 pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, Selangor sebentar tadi.

Cabaran 45 minit pertama memberi gambaran awal bahawa anak buah Ulisses Morais enggan berputih mata, malah terus berada di depan.

Tandukan Aidil Zafuan Abd Radzak menerima hantaran sepakan penjuru Safiq Rahim dan menggegar gawang Kedah seawal minit kedua permainan untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan gol pihak lawan, Kedah bagaimanapun kelihatan sukar untuk mengatur serangan apabila jentera lawan mengawal ketat pergerakan mereka.

Keberadaan Liridon Krasniqi, Ken Ilso, Sandro da Silva, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Syazwan Zainon di barisan depan gagal mencorakkan idea-idea menarik untuk menggempur benteng JDT.

Sebaliknya kem JDT terus mengatur tempo dan rentak permainan untuk menguasai bola.

Walaupun tidak menurunkan penjaring terbanyak Liga Super 2017, Mohammed Ghaddar, percaturan Morais meletakkan Ahmad Hazwan Bakri tetap memberi impak berkesan.

Namun, beberapa percubaan mereka antaranya melalui penyerang import Gabriel Guerra berjaya dihalang penjaga gol Kedah Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-22.

Menjelang minit akhir babak masa pertama, Kedah cuba mengancam gawang JDT, namun sepakan leret Ahmad Syazwan sedikit tersasar.

Sementara itu, kembali dari bilik persalinan untuk separuh masa kedua Kedah terlebih dahulu menguji ketahanan lawan.

Hantaran silang Liridon pada minit ke-55 membuka peluang kepada Baddrol sudah untuk menyamakan kedudukan, sebaliknya tetap secera apabila ledakan terkena tiang.

Lapan minit berselang, JDT terus menutup peluang Kedah selepas Gonzalo Cabrera medak gol kedua pasukan.

Kedudukan 2-0 ternyata memberi tekanan besar buah skuad Helang Merah bimbingan Mohd Nidzam Adzhar Yusof yang dilihat semakin sukar untuk bangkit.

Benteng pertahanan Harimau Selatan pula tidak alpa untuk menafikan setiap percubaan lawan sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Untuk rekod, kejayaan JDT itu sekali gus melengkapkan kutipan trofi dalam kancah Liga Malaysia sejak pengurusan JDT diketuai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Johor pernah tampil sebagai juara piala tertua negara itu pada 1985 dan 1991.

Lihat Komen
ADS