Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Piala Malaysia hadiah JDT buat TMJ
Diterbitkan:  Nov 5, 2017 9:49 AM
Dikemaskini: 8:49 AM

Ketua Jurulatih JDT, Ulisses Morais mendedikasikan kemenangan menjuarai Piala Malaysia pada malam tadi buat pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Warga Portugal berusia 57 tahun itu berkata Tunku Mahkota Johor berkenaan berusaha gigih sejak mengambil alih kelab itu pada 2013 bagi memastikan mereka mengecapi kejayaan di kedua-dua arena bola sepak tempatan termasuk Piala AFC pada 2015.

JDT menewaskan juara bertahan, Kedah, dengan 2-0 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, sekali gus mengakhiri penantian 26 tahun pasukan itu untuk menjulang piala yang kali terakhir dimenangi oleh Johor FA pada 1991.

“Tahniah kepada staf kejurulatihan, pemain, penyokong dan juga boss kami, Tunku Ismail dan saya sangat gembira kami akhirnya berjaya memenangi piala ini selepas 26 tahun,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Berkongsi pandangan sama adalah kapten pasukan JDT, Safiq Rahim, yang bersyukur kerana berjaya mendakap Piala Malaysia buat julung kalinya setelah gagal dalam dua percubaannya bersama Selangor pada 2008 dan JDT pada 2014.

“Syukur Alhamdulillah akhirnya saya berjaya membantu JDT memenangi Piala Malaysia buat pertama kali dan juga untuk diri saya sendiri.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada keluarga JDT iaitu pihak pengurusan, barisan jurulatih, pemain dan juga penyokong yang banyak memberikan sokongan dan saya harap kejayaan ini tidak terhenti setakat ini dan dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Safiq yang merupakan perancang tengah skuad kebangsaan.

Nasib tak menyebelahi

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan oleh pemain skuad Lang Merah pada perlawanan malam ini walaupun mereka gagal mempertahankan piala berprestij itu.

“Pada keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan pada malam ini cuma kita dihukum oleh sedikit kelalaian sehingga memberi peluang kepada pihak lawan untuk menjaringkan gol pada setiap babak perlawanan.

"Apapun, saya ingin ucapkan tahniah kepada para pemain yang berikan persembahan terbaik pada perlawanan ini walaupun nasib tidak menyebelahi pasukan untuk mempertahankan Piala Malaysia,” kata Mohd Nidzam yang merupakan bekas pemain Kedah era 90-an.

Berkongsi pandangan sama ialah Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari yang memuji komitmen terbaik yang diberikan oleh rakan sepasukan pada perlawanan malam tadi.

“Saya gembira dengan persembahan pasukan pada malam ini walaupun secara jujurnya, saya agak kecewa kerana kita gagal mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi pada musim lepas,” katanya.

JDT menewaskan Kedah 2-0 hasil jaringan Mohamad Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ketiga dan Gonzalo Gabriel Cabrera pada minit ke-63.

- Bernama

Lihat Komen
ADS