Terengganu pesta gol dahului carta kumpulan
Juara bertahan, Terengganu kembali mendapat rentak kemenangan untuk mempertahankan gelaran apabila membelasah Melaka 6-1 pada perlawanan kedua Divisyen 1 Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Razak ke-55 di Stadium Sultan Azlan Shah di Ipoh, malam tadi.
Selepas sekadar mengutip satu mata pada perlawanan pertama, Terengganu terlebih dahulu menyumbat gol ke gawang lawan menerusi gol padang Muhammad Amirul Mirza Rozi pada minit ketujuh sebelum Faizal Saari menghasil gol padang pada minit ke-28 dan gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-38.
Tertekan dengan kedudukan itu, Melaka dilihat cuba bangkit untuk mendapat gol penyamaan namun setiap percubaan berjaya dipatahkan pemain pertahanan Terengganu.
Gol keempat Terengganu pada minit ke-44 menerusi gol padang Mohd Fitri Saari meletakkan pasukan itu di kedudukan selesa sebelum tamat suku ketiga perlawanan.
Cuba bangkit daripada dimalukan, Ismail Abu menghadiahkan gol tunggal buat Melaka pada minit ke-47, namun belum pun sempat meraikan gol tersebut Muhammad Amirul Mirza meranapkan impian Melaka pada minit sama dengan gol padang.
Tiga minit sebelum tamat perlawanan Syarman Mat Tee menyumbat lagi satu gol ke gawang Melaka selepas mengelirukan penjaga gol Farhan Syakirin Hassan.
Dengan kemenangan itu, Terengganu kini muncul pendahulu carta Kumpulan A dengan kutipan empat mata.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan divisyen dan kumpulan sama, Kuala Lumpur sekadar seri 3-3 menentang Pulau Pinang.
Pulau Pinang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Muhammad Haikal Abdul Mutalib pada minit ke-21.
Tersentak dengan jaringan itu Kuala Lumpur menambah asakan ke kubu lawan hingga berjaya memperoleh gol padang menerusi Mohammad Sabri Mohamed pada minit ke-24 dan Muhammad Shahril Saabah juga menerusi gol padang pada minit ke-35.
Bagaimanapun ketua pasukan Pulau Pinang, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin bertindak cemerlang apabila berjaya menggegarkan gawang Kuala Lumpur pada minit ke-25 dan ke-51.
Kuala Lumpur hampir gagal mengutip sebarang mata sebelum Muhammad Aslam Mohamed menyamakan kedudukan 3-3 seminit sebelum perlawanan tamat.
Terdahulu, pada perlawanan Divisyen Dua Kumpulan A, Kelantan menewaskan Thailand 3-2 manakala Pahang membelasah Indonesia 7-2.
- Bernama

