Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FAM dipuji AFC
Diterbitkan:  Nov 8, 2017 5:44 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Presiden Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa menyatakan keyakinannya kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM.

Pendirian itu disampaikan Shaikh Salman dalam satu pertemuan di antara kedua-dua mereka di Johor Isnin lalu.

Mereka bertemu bagi membincangkan hal berkaitan pembangunan bola sepak tempatan dan serantau.

Memetik laporan laman sesawang Goal, Shaikh Salman berkata beliau amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Tunku Ismail.

"AFC berbangga kerana mempunyai peminat bola seumpama Tunku Ismail sebagai presiden FAM. Dan saya yakin visi progresif beliau bakal memacu masa depan yang cerah buat sukan bola sepak Malaysia,” katanya.

Menurut tokoh dari Bahrain itu AFC dapat merasai semangat yang ditunjukkan Malaysia menerusi penyertaan negara dalam beberapa kejohanan anjuran AFC baru-baru ini.

Sementara itu Tunku Ismail turut menyatakan hasratnya meneruskan kerjasama antara FAM dan AFC.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Presiden AFC kerana meluangkan masa berharga beliau untuk melawat kami di sini.

"Kepimpinan FAM masih baru, namun kami mempunyai kaedah untuk membangun bola sepak Malaysia, iaitu melalui didikan pengurusan.

"Bola sepak bukan sahaja popular, ia juga berupaya menyatukan orang dan itulah yang sedang kami lakukan di Malaysia,” katanya.

Menurut Tunku Ismail FAM juga sedang merangka pelan jangka panjang yang bakal membantu pihaknya mempromosikan sukan bola sepak.

"Pada masa yang sama FAM akan meningkatkan mutu persembahan pasukan kebangsaan negara," katanya.

Lihat Komen
ADS