Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Mane, Salah sujud tanda syukur
Diterbitkan:  Nov 8, 2017 7:11 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Selepas pulih dan cergas sepenuhnya daripada kecederaan, kehadiran Sadio Mane memberi kesan besar kepada kelab The Kop.

Ia dapat dilihat pada perlawanan mereka bertemu West Ham pada Sabtu lalu.

Lebih menarik gandingan Mane dan Mohamed Salah seakan-akan melengkapkan Liverpool dengan senjata berbahaya.

Malah, dua gol dijaringkan Salah adalah hasil umpanan Mane.

Untuk rekod kedua-dua mereka ialah pemain beragama Islam.

Mane, 25, lahir di Sedhiou, Senegal dan anak kepada seorang imam tempatan namun segera dapat menyesuaikan diri selepas tiba di Melwood.

Walaupun nampak mempunyai perwatakan serius Mane berkawan dengan semua orang dan lebih dikenali sebagai pemain yang merendah diri.

Semasa di Senegal Mane dibesarkan di sebuah desa kecil di Bambali.

Mane memulakan kerjaya antarabangsa dengan mewakili kelab Metz di Perancis sebelum berpindah ke Red Bull Salzburg di Austria pada 2012.

Dia kemudian berpindah ke Southampton dua tahun kemudian selepas membantu membawa kelabnya menjuarai liga Austria.

Anak nama Makkah

Pada 2015 Mane mencatat nama sebagai penjaring hatrik terpantas EPL apabila menggegarkan gawang Aston Villa sebanyak tiga kali dalam tempoh 176 saat.

Liverpool membenam Villa 6-1 dalam perlawanan itu.

Mane kemudian berhijrah ke Liverpool pada 2016 dengan yuran perpindahan £34 juta.

Salah pula dilahirkan di Nagrig, Mesir pada 15 Jun 1992.

Semasa musim pertama bersama kelab Basel Salah menjadi antara pemain penting membawa skuadnya menjuarai Liga Super Switzerland pada 2012.

Pada tahun sama Salah turut diiktiraf sebagai Pemain Paling Berbakat Afrika.

Sebelum menyarung jersi Liverpool pada tahun ini Salah bermain untuk Chelsea, Fiorentina (Sirie A Itali sebagai pemain pinjaman) dan Roma.

Salah sudah berkahwin dan memiliki seorang anak perempuan berusia tiga tahun itu diberi nama Makkah.

Persembahan Sane dan Salah pada Sabtu lalu juga menarik apabila mereka bersujud selepas gol dijaringkan - suatu kelaziman yang mereka lakukan sebagai tanda bersyukur.

Salah melakar nama sebagai penjaring gol pada minit ke-21 dan 75, manakala Joel Matip menambah kedukaan West Ham pada minit ke-24 selain bekas pemain Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain di minit ke-56.

Gol saguhati West Ham pula dijaringkan oleh Manuel Lanzini pada minit ke-55.

Bagi kebanyakan penyokong Liverpool kemenangan Sabtu lalu turut dikenang kerana ia bukan saja membenam West Ham ke lubuk yang boleh membawa mereka bermain di liga bawahan, malah turut menyebabkan Slaven Bilic terpelanting dari kedudukannya sebagai pengurus.

Lihat Komen
ADS