Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dakwaan ‘jual game’ - Puaka Jerai buat laporan polis
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 11:55 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Seorang penyokong skuad bola sepak Kedah, Zulkifli Hashim, hari ini, membuat laporan polis berhubung dakwaan di media sosial yang mengaitkan pemain dan jurulatih Helang Merah dengan amalan rasuah.

Menurut portal Berita Harian Online, Zulkifli atau lebih dikenali Puaka Jerai, membuat laporan itu di Balai Polis Yan, pada jam 8.54 pagi tadi.

Beliau dilaporkan terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan oleh rakannya pada jam 11 malam semalam mengenai mesej berbaur tuduhan fitnah yang disebarkan tanpa sebarang bukti oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Sebagai penyokong yang bertanggungjawab dan cintakan pasukan Kedah, saya tampil membuat laporan polis bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap lontaran berita yang membawa imej negatif untuk pasukan.

"Saya amat kecewa dengan tohmahan dan tuduhan tidak berasas ini dan mahu pihak bertanggungjawab menyiasat perkara ini supaya kebenaran dapat diketahui oleh seluruh penyokong Kedah," katanya.

Beliau merujuk mesej yang dimuatnaik ke laman Facebook oleh seorang individu yang menyebarkan komen "Calon-calon jual game Final Piala Malaysia 2017" dan tertera tujuh nama membabitkan pemain dan jurulatih Kedah.

Sebelum ini, mesej di WhatsApp juga mendakwa tujuh pemain Kedah menerima sogokan RM200,000 setiap seorang sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah bertemu JDT.

Lihat Komen
ADS