Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dua pemain tempatan dalam radar Terengganu
Diterbitkan:  Nov 9, 2017 6:11 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

LIGA SUPER | Terengganu FA sedang 'merisik' dua pemain tempatan bagi memperkukuh pasukan itu menghadapi saingan liga Malaysia musim depan.

Ketua Jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim berkata kedua-dua pemain terbabit telah dikenal pasti tapi identiti mereka masih dirahsiakan.

"Saya tidak boleh berkata lebih pasal identiti pemain berkenaan tapi satu daripada mereka datang dari pasukan utara dan satu lagi pantai timur Semenanjung.

"Kita bukan ingin berahsia sangat tetapi biarlah ia selesai dahulu dan kita akan mengumumkan siapa mereka ini.

"Kita terpaksa cari dan ikat pemain tempatan terutamanya lebih awal kerana sedar dengan jumlah pemain bagus di Malaysia ini agak terhad… selebihnya baru kita akan isi kekosongan tersebut dengan pemain import," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu hari ini.

Irfan Bakti turut mengesahkan skuad berkenaan menggugurkan tiga pemain import iaitu Issey Nakajima Farran, Lazaro Vinicius, Gabriel Dos Santos dan beberapa tunggak utama termasuk Mohd Ferris Danial, Ezaidy Khadar, Mohd Ridzuan Abdunloh dan Firdaus Faudzi.

"Hanya seorang sahaja pemain import iaitu dari Ivory Coast, Tchetche Kipre dan beberapa pemain tempatan antaranya Abdul Latiff Suhaimi, Mohd Syazwan Yusof, Azi Shahril Azmi, Mohd Faiz Nasir, Radhi Yusof dan penjaga gol Suffian Abdul Rahman dikekalkan.

"Mereka ini kekal berpandukan prestasi mereka pada musim (Liga) Perdana baru-baru, sebab musim depan kita sudah ke Liga Super dan kita tahu ia akan lebih sukar berbanding dengan musim ini,” katanya.

Irfan Bakti berkata beberapa pemain daripada pasukan Piala Presiden Terengganu akan diserapkan bagi memperkukuhan pasukan berkenaan.

"Insya-Allah akan ada beberapa pemain Piala Presiden bakal diserapkan tetapi kita akan tunggu sebarang keputusan terakhir daripada PBSNT setelah selesainya penstrukturan semula pasukan,” katanya.

Terengganu layak ke Liga Super musim hadapan setelah muncul naib juara Liga Perdana di belakang Kuala Lumpur baru-baru ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS