Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Fadhli Shas ketuai M'sia bertemu Korea Utara
Diterbitkan:  Nov 10, 2017 4:03 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Pemain pertahanan Fadhli Shas akan mengetuai pasukan Malaysia dalam perlawanan kelayakan Piala Asia malam ini menentang Korea Utara di i-Mobile Stadium di Buriram, menggantikan Safiq Rahim yang digantung satu perlawanan.

Ketua jurulatih pasukan negara Nelo Vingada yang membuat pengumuman itu berkata, sebagai pemain kebangsaan paling senior, Fadhli merupakan pemain terbaik untuk mengetuai pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan pada 8 malam (waktu tempatan), malam ini.

"Oleh kerana pasukan ini terdiri daripada ramai pemain muda, kami memerlukan pemain senior seperti Fadhli yang mempunyai karakter yang kuat untuk mengetuai pasukan. Saya pasti beliau akan melaksanakan tugasnya dengan penuh keyakinan,” katanya kepada kumpulan wartawan Malaysia di sini hari ini.

Selain perlawanan malam ini, Malaysia dan Korea Utara akan berdepan sekali lagi pada Isnin depan dalam perlawanan kelayakan kedua mereka di stadium sama.

Safiq, yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Hong Kong sebelum ini, akan kembali sebagai kapten pasukan dalam perlawanan Isnin ini, kata jurulatih dari Portugal itu.

Ketika ditemui, Fadhli, pemain JDT, berkata beliau terkejut dengan keputusan Vingada yang memilih beliau sebagai kapten bagi perlawanan itu, namun menyifatkannya sebagai satu penghormatan dan akan melaksanakan tugas itu dengan sebaik-baiknya.

"Siapa yang menjadi kapten tidak penting, tetapi yang paling penting adalah setiap pemain menjalankan tugas mereka malam ini untuk memastikan kemenangan kita ke atas Korea Utara dan mencerahkan lagi peluang kita untuk melayakkan diri,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS