12,000 dijangka sertai ATM half marathon Ahad Ini
Seramai 12,000 orang dijangka menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Half Marathon 2017 anjuran MUSE Group Asia dengan kerjasama ATM di Bandar Tentera Darat di Port Dickson Ahad ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Riduwan Matni berkata acara larian itu yang julung kali diadakan di negara ini bertujuan meningkatkan penglibatan anggota tentera bersama orang awam dan dalam masa sama memupuk budaya hidup sihat.
"Larian ini telah dipromosikan sejak pertengahan tahun dan mula dibuka untuk penyertaan pada 22 Ogos lalu, manakala tarikh tutup penyertaan 1 Okt. Kami menerima 8,000 penyertaan yang terdiri daripada anggota tentera dan selebihnya 4,000 orang adalah orang awam.
"Walaupun penyertaan larian ini telah ditutup, tetapi kami masih lagi menerima pertanyaan daripada orang ramai yang berminat untuk menyertainya. Sempena dengan larian itu, kami turut mengadakan 'persembahan aset tentera' iaitu paparan statik perkakasan, kakitangan dan demonstrasi ketenteraan. Turut dipamerkan termasuk kenderaan perisai, bot penyerang, senjata antipesawat, senapang serangan dan kereta kebal," katanya dalam kenyataan di Port Dickson hari ini.
Katanya sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan dalam larian itu iaitu kategori 21 kilometer, 10 kilometer dan lima kilometer. Daripada tiga kategori utama itu, terdapat subkategori seperti kategori terbuka, veteran dan pakaian terbaik.
"Setiap kategori menawarkan hadiah tempat pertama hingga tempat kelima. Pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM7,000, tempat kedua RM5,000, tempat ketiga RM4,000, keempat RM3,000, manakala tempat kelima RM2,000.
"Kami menyediakan beberapa subkategori agar larian ini memberi peluang sama rata kepada para peserta untuk berlari mengikut kemampuan masing-masing. Sebagai contoh kategori veteran, ia diadakan agar pelari yang termasuk dalam kategori tersebut boleh bersaing secara sihat dengan peserta lain.
"Adalah tidak adil untuk menyamaratakan penyertaan veteran, yang kebanyakanya berusia 50 tahun ke atas, dengan pelari berusia bawah 50 tahun.
"Begitu juga dengan penyediaan kategori lima kilometer yang mensyaratkan penyertaan usia minimum kanak-kanak lima tahun. Kanak-kanak perlu dipantau oleh ibu bapa mereka, dalam erti kata lain ibu bapa juga digalakkan menyertai larian ini bersama-sama anak mereka," katanya.
Mereka yang ingin mengetahui perkembangan larian itu boleh melayari laman sesawang www.atmhalfmarathon.com atau ikuti perkembangan terkini larian ini di Instagram @atmhalfmarathon dan Facebook (atmhalfmarathon).
- Bernama

