TMJ ambil tanggungjawab atas kekalahan Harimau Malaya

       

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan 4-1 skuad Harimau Malaya dengan Korea Utara dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand, semalam.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM sejurus aksi tamat lewat malam tadi, menyatakan kesediaan untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan skuad bimbingan Nelo Vingada itu dan kekalahan seterusnya pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, satu mesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo bakal diadakan sebaik skuad negara pulang bagi membincangkan satu kaedah penambahbaikan dari segenap aspek buat pasukan kebangsaan.

Prestasi skuad kebangsaan sejak di bawah pucuk pimpinan baharu FAM pada Mac lalu dilihat seakan tiada peningkatan apabila sehingga kini gagal merekodkan walaupun satu kemenangan dengan lima kekalahan dalam tujuh aksi di peringkat antarabangsa.

Statistik tersebut turut menyaksikan pengendali Vingada bakal menjadi antara jurulatih yang mempunyai rekod terburuk dalam sejarah bola sepak Malaysia jika gagal meraih satu kemenangan sehingga hujung tahun ini.

Bagaimanapun, Nelo mampu mengubah rekod tersebut selain menghidupkan kembali peluang skuad negara layak ke Piala Asia 2019 pada aksi berdepan Korea Utara dalam satu lagi perlawanan kumpulan B yang dijadual berlangsung pada Isnin depan di Stadium i-mobile di Buriram.

 

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.