Paling Popular
Terkini

Selepas sekian lama mengetuai pasukan bola sepak Kelantan, nasib Badhri Radzi bersama skuad The Red Warriors (TRW) pada musim 2018 belum diketahui kata putusnya.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini menegaskan, rundingan kontrak mereka dengan Badhri - yang lebih dikenali sebagai Piya - serta dua lagi pemain senior masih dirundingkan.

"Pemain yang diumumkan (hari ini) termasuk empat pemain senior adalah pemain yang masih berbaki kontrak dan bersetuju meneruskan khidmat bersama TRW bagi musim depan.

"Bagi nama-nama yang tidak disebut ada yang sudah dilepaskan untuk beraksi dengan pasukan baru.

"Bagaimanapun masih ada pemain senior yang sedang kita rundingkan, antaranya Piya Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahyuddin," kata Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Piya, 35, memulakan karier sebagai pemain profesional pada 2004 dan mencurahkan khidmatnya kepada Kelantan sehingga musim 2017.

Latihan pertama tak lama lagi

Anak kelahiran Kota Bharu itu sempat memberi sumbangan dan mengecapi zaman kegemilangan bola sepak Kelantan sekitar 2009 hingga 2012 lalu, termasuk meraih kejuaraan tiga piala.

Dia muncul sebagai ikon bola sepak Kelantan dalam kalangan penyokong dan menyifatkan pemain itu sanggup setia bersama pasukan walaupun berpeluang untuk berhijrah ke pasukan lain.

Sementara itu, Kafa turut mengesahkan hanya 20 peratus pemain senior dikekalkan dalam pasukan TRW bagi membantu barisan pemain muda termasuk pemain yang diserapkan dari skuad piala presiden.

Antara pemain muda yang bakal memperkuatkan pasukan itu pada musim depan ialah Fakrul Zaman Abdullah Zawawi, Mohd Nasrihan Rosid, Shafiq Rahman, Azwan Aripin, Mohd Fadhilah, Faris Shah Rosli, Mohd Ramadhan Abdul Hamid, Mohd Shahrul Akim dan Mohd Amir Zikri.

Lima pemain piala presiden yang diangkat beraksi bersama pasukan utama ialah Mohd Daniel Asyraf Abdullah, Nik Azli Nik Alias, Mohd Imran Samso, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhd Saiful Alias.

Bagi pemain senior, Kafa mengekalkan Khairul Fahmi Che Mat, Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Faizol Nazlin Sayuti dan Mohd Rozaimi Azwar.

Bibi Ramjani berkata, pemain yang diumumkan itu akan menyertai persiapan awal TRW untuk mengikuti latihan pertama 20 November ini.

Mengenai pemain baru serta import Bibi Ramjani berkata Kafa masih lagi dalam proses rundingan.

Bagi Santhit Bensoh pula Kafa bersetuju mengekalkannya sebagai pemangku jurulatih.

Lihat Komen
ADS