Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KFA mahu Ahmad Bashah kekal presiden
Diterbitkan:  Nov 12, 2017 6:00 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini sebulat suara mahu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dikekalkan sebagai presidennya.

Timbalan Presiden KFA Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan isu berkaitan desakan Pemuda Umno negeri baru-baru ini yang mahu Ahmad Bashah meletak jawatan.

"Barisan kepimpinan KFA melalui Anggota Majlis Eksekutif memohon supaya jawatan Presiden KFA yang disandang Ahmad Bashah wajib dikekalkan," katanya dalam sidang media khas di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata keputusan itu diambil berikutan KFA sedang melakukan proses persediaan bagi mengharungi musim 2018.

Oleh itu katanya peralihan kuasa pada ketika ini adalah tidak sesuai dilakukan.

"Sumbangan dan komitmen Ahmad Bashah sebagai Presiden KFA menerusi pelbagai bentuk sokongan termasuk kewangan, tajaan pihak swasta dan penyediaan kemudahan infrastruktur latihan pasukan antara sebab lain kenapa beliau perlu dikekalkan," katanya.

Sebelum ini Pemuda Umno negeri mendesak Ahmad Bashah meletak jawatan susulan insiden beliau dilemparkan dengan ejekan 'boo' ketika perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah menentang JDT di Stadium Shah Alam awal bulan ini.

Jaga adab pekerti

Pemuda Umno negeri berkata ia bagi menjaga nama baik parti yang sering dijadikan kambing hitam oleh pihak tertentu yang terus menjadikan bola sepak sebagai medan mereka mencari simpati politik dan amarah politik.

Mengulas mengenai isu pemain Kedah yang didakwa menerima rasuah, Syed Unan Mashri berkata KFA menyarankan agar laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan susulan.

"Dengan prestasi pasukan musim ini yang amat baik, tuduhan tidak berasas ini patut dihentikan untuk menjaga imej bola sepak pasukan Kedah dan maruah setiap pemain yang bernaung di bawah KFA," katanya.

KFA turut meluahkan rasa kesal atas insiden 'boo' di Stadium Shah Alam tambahan pula ia berlaku di hadapan Sultan Kedah dan berharap agar para penyokong menjaga adab dan pekerti selepas ini.

"Budaya menghormati pemimpin perlu diberi perhatian supaya sukan bola sepak menjadi alat perpaduan bukan perpecahan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS