Pelumba trek elet negara, Fatehah Mustapa, gagal mengumpul sebarang mata selepas terlibat dalam kemalangan semasa final keirin wanita pada pusingan kedua Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Manchester, England pada lewat Sabtu (awal Ahad di Malaysia).
Pesuruhjaya perlumba memutuskan untuk membatalkan penyertaan pelumba CIMB Pro Cycling Team itu kerana menyebabkan perlanggaran antara pelumba Australia, Stephanie Morton, dan Simona Krupeckaite (Lithuania) yang jatuh ketika menuju ke 200 meter terakhir ke garisan penamat.
Pelumba Jerman, Kristina Vogel, memenangi perlumbaan itu di hadapan dua pelumba Belanda – Shanne Braspennincx dan Laurine van Riessen – yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam kejohanan yang diadakan di HSBC United Kingdom National Cycling Centre.
Terdahulu, dua pelumba elit kebangsaan – Azizulhasni Awang dan Mohd Shah Firdaus Sahrom – gagal dalam peringkat akhir acara pecut selepas masing-masing menamatkan perlumbaan pada tempat ke-30 dan 31 daripada 32 pelumba semasa perlumbaan kelayakan.
Azizulhasni yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 mencatat masa 10.243 saat manakala Mohd Shah Firdaus merekodkan 10.320 saat.
Harrie Lavreysen dari Belanda menjuarai perlumbaan itu di hadapan pelumba Poland, Mateusz Rudyk dan Matthew Glaetzer dari Australia.
Azizulhasni dan Mohd Shah Firdaus akan mengambil bahagian dalam acara keirin lewat hari ini.
- Bernama
