Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Korea Utara tak sangka Vingada mengharap pemain muda

Ketua Jurulatih Korea Utara Jorn Andersen terkejut dengan keputusan rakan setugasnya dari Malaysia Nelo Vingada mempertaruhkan ramai pemain muda dan kurang berpengalaman dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 dua hari lepas.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium i-mobile di Buriram, Thailand, skuad Korea Utara menang mudah 4-1 mengatasi Malaysia.

“Saya perhatikan Malaysia tidak menurunkan pemain biasa dalam perlawanan ini, sebaliknya membuat perubahan dengan menurunkan ramai pemain muda dan kurang berpengalaman,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di stadium itu hari ini.

Korea Utara akan bertemu Malaysia sekali lagi di stadium sama pada 7 malam esok (8 malam waktu Malaysia).

Jurulatih kelahiran Norway yang memegang kerakyatan Jerman itu berpendapat Vingada mungkin mempunyai perancangan masa depan apabila membuat keputusan itu dalam perlawanan pertama mereka dua hari lepas.

Untuk perlawanan esok, Andersen berkata mereka akan mengekalkan momentum untuk mencari satu lagi kemenangan dan itu akan meletakkan Korea Utara pada kedudukan lebih baik mengiringi Lubnan ke Piala Asia.

“Kami telah mengkaji perlawanan pada Jumaat lepas dan semua pemain diminta memperbaiki beberapa kelemahan yang dapat dilihat dalam perlawanan itu,” katanya.

Andersen menambah, mereka akan berusaha untuk tidak melakukan kesilapan dalam perlawanan menentang Malaysia itu.

“Kami mahu beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan kedua ini. Kami mahu menang,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Korea Utara, Kim Yu-song berkata rakan sepasukannya kini cergas sepenuhnya dan bersedia untuk melakar satu lagi kemenangan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS