Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sedang berusaha mencari lebih banyak penaja bagi memantapkan lagi pasukan Singa Utara itu dan mengembalikan kegemilangannya, kata Presiden PFA yang baru Ir. Shaharuddin Ismail.

Beliau berkata jika ada pihak yang berminat untuk menjadi penaja, PFA akan melihat dari segi kehendak mereka agar dalam masa yang sama ia juga memenuhi keperluan PFA.

"PFA juga akan berbincang dengan kerajaan negeri dan akan berusaha untuk mencari peruntukan bagi membaiki lampu limpah stadium agar pasukan boleh beraksi pada sebelah malam di Stadium Tuanku Syed Putra mengikut ketetapan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya kepada pemberita di Kangar malam tadi.

Beliau berkata PFA juga akan mewujudkan liga tempatan di negeri ini bagi mencungkil bakat-bakat baru untuk diserap ke dalam pasukan yang pernah menjulang trofi kejohanan bola sepak Piala Malaysia itu.

Katanya menerusi liga berkenaan, pemain-pemain muda yang berpotensi dapat dikenal pasti dan akan dipilih mewakili skuad Piala Presiden atau skuad utama Perlis.

“PFA juga akan berusaha untuk mewujudkan akademi bola sepak yang akan dibantu oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun hadapan," kata Shaharuddin.

Beliau berkata menerusi usaha sama itu, pihak UiTM akan menyediakan kemudahan seperti penginapan, jurulatih serta tenaga pengajar bola sepak kepada kanak-kanak sekolah di akademi berkenaan.

Mengenai persiapan skuad itu menghadapi saingan musim depan, beliau berkata, PFA bakal menggunakan jurulatih tempatan yang berasal dari negeri ini.

"Skuad Perlis juga akan dibarisi banyak muka baru dalam kalangan anak jati negeri ini," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS