Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KJ: Tukar jurulatih Harimau Malaya tak selesai masalah

Langkah menukar jurulatih tidak mampu menyelesaikan masalah kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaya secara menyeluruh kerana ia adalah lanjutan daripada struktur pembangunan bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan walaupun jurulatih negara Nelo Vingada ditukar pada waktu ini namun ia mungkin tidak dapat melihat peningkatan positif prestasi skuad negara secara mendadak dengan segera.

“Justeru, saya meminta meminta peminat sukan tanahair agar tidak terlalu cepat menghukum pasukan negara sebaliknya menerapkan semangat kebangsaan dengan memberi sokongan sepenuhnya kepada pemain,” katanya pada sidang media selepas dialog TN50 Muafakat Aspirasi Generasi Baharu Felda di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh yang mendesak agar Vingada merangkap pengurus pasukan kebangsaan melepaskan jawatan sebagai tanda maaf kepada seluruh peminat bola sepak tanahair.

Vingada (gambar, atas) yang mengendali skuad kebangsaan sejak enam bulan lepas gagal meraih sebarang kemenangan sekali gus menutup peluang negara layak ke Piala Asia 2019.

Terkini, Malaysia mengalami kekalahan kedua berurut kepada Korea Utara dengan keputusan sama 4-1 di Buriram, Thailand, malam tadi.

Ia merupakan kekalahan keempat daripada lima aksi Kumpulan B yang menyaksikan anak buah Vingada tewas 2-1 dengan Lubnan serta kalah 2-0 kepada Hong Kong selain seri 1-1 dengan lawan sama untuk mengumpul satu mata sekali gus berada di tangga tercorot.

Dua kekalahan dalam aksi persahabatan yang diatur Ogos lalu turut mencalar reputasi negara terutamanya apabila dimalukan Myanmar 1-0 yang hanya membariskan skuad kedua selain turut tewas 2-1kepada Syria.

Bagaimanapun, Khairy melahirkan keyakinan masa depan bola sepak negara akan berubah dalam tempoh lima tahun akan datang berdasarkan prestasi pemain remaja yang telah banyak melakar kejayaan.

Piala Konfederasi Bola Sepak Asia

Terkini, skuad bawah 16 tahun (B-16) negara di bawah program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) melayakkan diri ke kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC, B-16 2018), yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah.

Skuad B-19 negara turut layak bertanding ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 2018 manakala skuad B-23 negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah buat kali pertama menempah tiket ke peringkat akhir Piala AFC B-23, Januari depan.

"Kalau tengok dari segi pembangunan bola sepak hari ini, NFDP yang dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan, dan juga pasukan kebangsaan B-16, B-18 dan B-23, yang telah mencipta kejayaan, kita lihat masa depan lebih cerah.

"Saya melihat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang usahakan satu sistem pembangunan yang lebih tersusun, idea terbaru adalah divisyen empat supaya lebih ramai lagi daripada peringkat akar umbi dapat main dalam liga yang tersusun," katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS