Hafizul Hakim tekad perbaiki persembahan bersama Harimau Malaya

       

Penjaga gol skuad Harimau Malaya, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaikinya bagi menghadapi mana-mana perlawanan di peringkat antarabangsa selepas ini.

Beliau yang merupakan penjaga gol skuad Liga Super Perak menegaskan kekalahan memalukan ke atas Korea Utara pada dua aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium i-mobile, Buriram, Thailand pada Jumaat lepas dan semalam, jelas menggambarkan kelemahan ketara yang dihadapinya apabila berdepan pasukan lawan yang mempamerkan permainan berintensiti tinggi.

Malaysia tewas masing-masing dengan keputusan 1-4 pada 10 Nov dan semalam berdepan Korea Utara, sekali gus menutup terus pintu untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu.

“Bolos lapan gol bagi saya adalah sesuatu yang amat mengecewakan selaku seorang penjaga gol.

Bagi saya, lebih banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki kerana saya baharu hanya meraih empat penampilan bersama skuad kebangsaan dan saya terus berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya skuad kebangsaan dari Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Hafizul Hakim menjelaskan beliau akan terus menabur bakti bersama negeri kelahirannya dalam saingan Liga Malaysia, musim depan walaupun beberapa pasukan lain berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Kontrak saya dengan Perak masih ada lagi setahun lagi dan memang ada pasukan yang menawarkan kontrak kepada saya namun saya masih berminat untuk terus beraksi dengan negeri kelahiran saya sendiri,” kata Hafizul Hakim.

 

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.