Hope dakwa punggung diramas Sepp Blatter

   

Bekas penjaga gol kebangsaan AS, Hope Solo, mendakwa punggungnya dicengkam orang kuat Fifa semasa dia berada di atas pentas untuk memberi anugerah hampir lima tahun lalu.

Insiden itu didedahkan Hope dalam temu bual dengan akhbar Portugal, Expresso, dan disiarkan beberapa hari lalu.

Berdasarkan rakaman majlis anugerah tahunan Fifa itu Hope, 36 dilihat muncul di pentas diiringi Blatter, 81, untuk menyerahkan piala buat rakan sepasukannya, Abby Wambach, yang terpilih sebagai pemain bola sepak wanita terbaik 2012.

Majlis itu diadakan di Zurich, Switzerland, pada Januari 2013. Bekas bintang bola sepak Belanda Ruud Gullit dan personaliti TV Britain, Kay Murray menjadi hos.

"Sepp Blatter mencengkam punggung saya. Ia berlaku sejurus sebelum saya bergerak ke pentas," katanya.

Hope yang turut diingati kerana siri gambar bogelnya yang bocor di Internet berkata, amalan gangguan seksual dalam sukan bola sepak memang sesuatu yang lazim.

Sementara itu Blatter yang dihubungi The Guardian melalui jurucakapnya menafikan dakwaan Hope.

"Tuduhan itu sangat mengarut," katanya.

Bercakap kepada The Guardian kemudian Hope memberitahu terpaksa menenangkan dirinya selepas diperlakukan begitu untuk membolehkan dia menyampaikan ucapan seperti dirancang serta menyerahkan piala kepada Abby.

Harap ada hukuman

Menggambarkan dirinya "amat terkejut" Hope berkata disebabkan piala berkenaan sangat bermakna buat teman sepasukannya, fokus terus diberikan kepada majlis berkenaan.

Hope mencatat sejarah sebagai pemain paling banyak mewakili skuad kebangsaan AS setakat ini dengan 202 penampilan, termasuk mengungguli pingat emas Sukan Olimpik 2008 dan 2012 serta juara Piala Dunia 2015.

Pendedahan Hope itu berlaku ketika orang ramai masih belum melupakan kisah nafsu buas penerbit filem, Harvey Weinstein, yang dikaitkan dengan dakwaan rogol dan aksi lucah terlampau di depan pelakon Hollywood.

Melalui Instagram pula Hope menulis pengalamannya:

"Selama beberapa hari lalu saya asyik memikirkan mengenai gangguan yang saya dan/atau rakan sepasukan alami dengan pelatih, doktor, jurulatih, eksekutif malah teman satu pasukan.

"Daripada kata-kata tak patut, aksi tidak wajar, ramasan punggung hingga komen pegawai media mengenai penampilan fizikal pemain.

"Gangguan seksual berleluasa dalam sukan. Saya selalu berasa saya sudah mendepaninya dan mempertahankan diri dalam situasi itu, tetapi pelakunya mesti dihukum. Ia perlukan perubahan. Berdiam diri tidak akan mengubah dunia!"

 

 

Great meeting @julialandauer NASCAR driver, STEM advocate and fellow North Carolinian @fortunemag #mpwnextgen

A post shared by Hope Solo (@hopesolo) on

 

Blatter mengetuai Fifa selama lima penggal sejak 1998 hingga 2015 sebelum dia diharamkan terbabit dalam bola sepak ekoran kesalahan etika.

Sepanjang tempoh itu dia dikritik berkali-kali termasuk berkaitan kenyataan yang dirasakan melampau, seperti mencadangkan pemain bola sepak wanita memakai seluar lebih ketat seumpama pemain bola tampar supaya perlawanan yang berlangsung lebih menarik perhatian.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.