Bekas pemain bola sepak era 70-an meninggal dunia

       

Bekas pemain bola sepak kebangsaan era 1970-an Wan Zawawi Wan Yusof, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan awal pagi tadi akibat pendarahan di dalam perut.

Balunya, Wan Jauhariah Wan Hamat, 57, berkata arwah suaminya yang berusia 68 tahun meninggal dunia pada 2.30 pagi selepas dimasukkan ke hospital pada 6 petang semalam.

“Saya bersama suami yang tinggal di Kota Bharu datang ke Kuantan sejak Selasa lepas untuk menziarahi anak perempuan saya di sini sebelum arwah mengadu sakit perut pada hari Rabu.

“Saya cuba pujuk dia untuk pergi membuat pemeriksaan di hospital tetapi dia tak mahu dan semalam dia ada mengadu lagi sakit perut. Kami kemudian membawanya ke hospital pada 6 petang sebelum meninggal dunia awal pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham meninggalkan enam anak dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tuan Beserah pada 11 pagi tadi.

Wan Zawawi yang bermain di bahagian tengah pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik 1972 serta beberapa kejohanan antarabangsa lain antaranya Kejohanan Bola Sepak Belia-belia Asia (1968), Sukan SEAP (1971, 1973 dan 1975); dan Sukan Asia (Bangkok 1970 dan Tehran 1974).

Anak kelahiran Penambang, Kota Bharu itu memulakan kerjaya dalam bola sepak dengan mewakili Kelantan dari 1966 hingga 1968 sebelum berhijrah ke Kelab Jabatan Penjara (1968-1970) dan berakhir dengan pasukan Pahang (1973 -1983).

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.