Tok Gajah tolak beraksi pada Piala AFC

   

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menolak tawaran untuk beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

PBNP dalam kenyataan hari ini, memaklumkan persatuan itu ditawarkan menyertai Piala AFC 2018 melalui surat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertarikh 9 November lepas.

“Bagaimanapun PBNP menolak tawaran itu melalui surat bertarikh 14 Nov kepada Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan tindakan ini dilakukan untuk memberi sepenuh perhatian kepada liga domestik Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Pahang dilaporkan calon terbaik menggantikan Kedah dalam saingan Piala AFC musim depan, berdasarkan kejayaan mereka menduduki tempat kedua dalam saingan Liga Super musim ini.

Tawaran itu diberikan kepada skuad Tok Gajah berikutan juara Piala FA, Kedah tidak dapat beraksi pada saingan Piala AFC ekoran Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan dalam tempoh ditetapkan AFC.

KFA dilaporkan gagal mengemukakan penyata kewangan beraudit yang merupakan kriteria wajib untuk dimuat naik ke dalam Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh akhir ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM untuk diteliti. -Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.