Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ranking Malaysia jatuh lagi
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 7:10 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Pasukan Harimau Malaya mengulangi rekod buruk apabila jatuh ke tangga 174 dalam rangking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) hari ini.

Di bawah kendalian ketua jurulatih Nelo Vingada, Malaysia jatuh empat anak tangga berbanding di kedudukan 170 bulan lalu.

Ini juga merupakan ranking terburuk sejak Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih sebagai Presiden persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Mac lalu, selain menyamai pencapaian terburuk negara pada April dan Mei tahun lalu.

Kekalahan dua kali berturut-turut kepada Korea Utara dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 bulan lalu menyaksikan Malaysia terlepas 13 mata dalam ranking badan induk bola sepak dunia itu.

Kekalahan itu juga menyebabkan pasukan kebangsaan terpaksa melupakan hasrat ke pusingan akhir kejohanan tertinggi Asia itu di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.

Dalam rangking terbaru ini, Malaysia ketinggalan di belakang Singapura dan Kemboja, sekali gus berada di kedudukan kelapan dalam ranking Asean.

Malaysia berkongsi kedudukan di tangga 174 bersama Kosovo dan St Lucia dengan mengumpul 97 mata.

Pada November tahun lalu, Malaysia naik ke kedudukan 156 di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee tetapi merudum selepas Vingada mengambil alih skuad kebangsaan.

Sejak Mei lalu, jurulatih kelahiran Portugal itu gagal membawa sebarang kemenangan kepada Harimau Malaya dalam tujuh perlawanan.

Lihat Komen
ADS