Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
JDT dapatkan khidmat pemain kacukan M'sia - Barbados
Diterbitkan:  Nov 24, 2017 4:56 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) hampir melengkapkan barisan pemain import untuk saingan Liga Malaysia 2018 selepas mendapatkan khidmat pemain berdarah kacukan Malaysia-Barbados, La'Vere Corbin-Ong.

Pemain kelahiran London, England itu yang boleh beraksi di posisi pertahanan kiri dan kanan, sebelum ini beraksi dengan kelab Liga Divisyen Dua Belanda, Go Ahead Eagles, demikian menurut laman Facebook rasmi JDT;Johor Southern Tigers.

Pemain berusia 26 tahun itu boleh mewakili skuad Harimau Malaya memandangkan ibunya, Elizabeth Ong merupakan rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga Barbados, Lawrence Corbin, namun beliau perlu melepaskan kerakyatan Kanada yang dipegang ketika ini.

Untuk rekod, Corbin memulakan kariernya selama empat tahun bersama kelab Argyle Pipers di Kanada pada 2005 sebelum beraksi dengan kelab Capilano Blues ketika menuntut di Universiti Capilano di Vancoucer, Kanada.

Beliau meneruskan karier bersama kelab profesional Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS), Vancouver Whitecaps pada 2011 sebelum menyertai kelab FC, Pommern Greifswald yang beraksi di kelab Divisyen Lima Liga Jerman dari 2012-2014.

Corbin kemudiannya menyertai kelab Divisyen Empat Liga Jerman, Berliner AK 07 selama dua musim dari 2014-2016 sebelum meneruskan karier bersama kelab Divisyen Tiga Liga Jerman, FSV Frankfurt pada awal 2016, namun memutuskan menyertai pasukan Go Ahead Eagles pada Julai lepas.

JDT sebelum ini mengumumkan kepulangan dua bekas pemain import mereka dari Argentina iaitu Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa selain pemain antarabangsa Singapura, Hariss Harun yang kembali memperkuatkan pasukan berkenaan setelah dipinjamkan selama semusim ke kelab Liga Singapura, Home United. -Bernama

Lihat Komen
ADS