Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra 2017, akan berlangsung di Kompleks Tuanku Syed Putra dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau dekat Kangar pada 5 hingga 9 Disember ini.

Timbalan Presiden Persatuan Tenis Perlis, Cheng Jo Chong berkata sebanyak 12 negara iaitu Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura, Nepal, Hong Kong, Indonesia, Uzbekistan, Rusia, Kazakhstan, Tajikistan dan tuan rumah Malaysia, melibatkan 256 peserta mengambil bahagian pada kejohanan kali ke-37 itu.

Cheng berkata kategori acara yang dipertandingkan kali ini adalah perseorangan dan beregu yang melibatkan remaja berumur lapan hingga 18 tahun termasuk lelaki dan perempuan.

Katanya kejohanan anjuran Persatuan Tenis Perlis dan kerajaan negeri dengan penaja utamanya Nestle Product (M) Sendirian Berhad (MILO) itu bertujuan untuk memberi pendedahan dan peluang bertanding kepada pemain muda dari dalam serta luar negara, di samping meningkatkan mutu permainan tenis negara. -Bernama