Tuah Benevento tak berbayang di Serie A
SERIE A | Harapan awal yang disandarkan memang tinggi.
Selepas Leicester City tiba-tiba mampu menjuarai EPL dan pasukan tidak popular RB Leipzig muncul sebagai pencabar berpotensi untuk kelab gergasi Bayern Munich di Bundesliga, kemunculan Benevento dalam kelompok liga elit Serie A Itali memang dapat difahami.
Benevento melayakkan diri ke liga utama itu selepas memenangi perlawanan playoff menentang Carpi pada Julai lalu.
Apabila penyerang muda mereka, George Puskas, menjaringkan gol pada minit ke-33 Stadium Ciro Vigorito di Campania menjadi gegak-gempita.
Penyokong kelab yang lahir pada 1929 itu sedar, mereka sudah meruntuhkan tembok yang selama ini dianggap mustahil. Benevento bakal berdepan dengan kelab elit Itali pada musim ini.

Namun selepas 14 perlawanan berlangsung setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada kemunculan Benevento dalam Serie A kali ini sesuatu yang membanggakan, atau sebaliknya mengaibkan.
Mereka masih gagal mengutip waima satu mata pun!
Pencapaian itu meletakkan Benevento sebagai satu daripada kelab terburuk pernah bersaing dalam kejuaraan utama di Eropah.
Kelab itu sebenarnya pernah 'mati' seketika apabila diisytiharkan muflis. Keadaan itu bagaimanapun terubat kemudian apabila ia diasaskan semula pada 2005 oleh dua ahli perniagaan setempat.
Mereka ialah pasangan adik-beradik Ciro dan Oreste Vigorito.
Perlu 10 mata
Setakat itu, pencapaian Benevento memang mengagumkan. Hanya selepas 12 tahun ia sudah layak menyertai Serie A.
Awal pagi tadi mereka merekodkan kekalahan ke-14 kepada pasukan Atalanta melalui jaringan tunggal Bryan Cristante.
Untuk berlaku adil, Benevento bukanlah kelab belasahan sama sekali. Sejak 'naik pangkat' dari Serie B ke Serie A pada Jun lalu Benevento kalah dengan perbezaan gol yang tipis sebanyak sembilan kali.

Namun mereka juga gagal meraih seri walaupun sekali.
Dalam kedudukan semasa, mereka perlukan 10 mata untuk terselamat daripada tersingkir ke Serie B semula.
Pasukan kedua tercorot Serie A ialah Verona yang sehingga kini mengumpul sembilan mata.
Sebagai perbandingan, pendahulu liga - Napoli - memperoleh 38 mata, diikuti Inter Milan di tempat kedua (36 mata) dan Juventus (34 mata).

