Skuad hoki lelaki negara bakal berdepan tugas getir untuk memburu slot separuh akhir setelah diundi bersama jaguh Asia, India, dan England dalam Kumpulan B pada temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April depan.

Undian yang diumumkan menerusi laman web rasmi www.gc2018.com hari ini menyaksikan Kumpulan B turut disertai Pakistan dan Wales, manakala Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan dan tuan rumah, Australia, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan dan Scotland.

Berdasarkan ranking dunia, India selaku juara Asia 2017 berada di tangga keenam berbanding England (7), Malaysia (12), Pakistan (13) dan Wales (24).

Australia pula berada di ranking kedua dunia, manakala New Zealand (8), Kanada (11), Afrika Selatan (15) dan Scotland (23).

Skuad Malaysian Tigers di bawah bimbingan ketua jurulatih Stephen Van Huizen harus mendapatkan dua tempat teratas di peringkat kumpulan untuk mengesahkan slot separuh akhir, sekali gus memperbaiki kedudukan ketujuh yang dicatatkan di Glasgow, Scotland, pada 2014.

Van Huizen yang tidak terkejut dengan undian itu berkata skuad negara bersedia untuk memberi tentangan sengit terhadap pasukan yang menghuni ranking lebih tinggi seperti India dan England.

Pernah dapat perak

Walaupun bakal berdepan dengan India dan England malah Pakistan yang dianggap setanding dengan kedua-dua pasukan itu, Van Huizen berkata, anak buahnya sudah bersedia menggalas cabaran dan berdepan segala kemungkinan pada temasya tersebut.

"Kami menyahut cabaran ini dan suka atau tidak, kita perlu bermain dengan lebih baik daripada pasukan lawan untuk layak ke saingan separuh akhir,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Van Huizen turut berpesan kepada pemain supaya tidak mengambil mudah pasukan Wales dan Pakistan yang boleh melakarkan kejutan kepada pasukan negara.

Katanya, skuad negara sudah memulakan latihan ringan selepas kejohanan Piala Razak baru-baru ini dan beliau telah mengemukakan program skuad negara untuk tahun depan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Van Huizen berkata pemilihan skuad negara ke temasya Sukan Komanwel 2018 akan ditentukan selepas Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual pada Februari atau Mac depan.

Pada pertemuan terkini dengan India di final Piala Asia di Dhaka bulan lepas, Malaysia kalah 1-2. Pada peringkat 'super fours’ sebelum itu, Malaysia tunduk 2-6 kepada juara Asia itu.

Dalam pertemuan dengan England pada kempen separuh akhir Liga Hoki Dunia di London Jun lepas, Malaysia kalah 3-7 dalam saingan peringkat Kumpulan A.

Selain Sukan Komanwel 2018, skuad Malaysian Tigers akan turut bersaing pada Sukan Asia 2018 di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 Sept dan pusingan akhir Piala Dunia di Bhubaneswar, India dari 28 Nov hingga 16 Dis tahun depan.

Pencapaian terbaik Malaysia pada temasya Sukan Komanwel ialah pingat perak ketika negara menjadi tuan rumah pada edisi 1998.

- Bernama