Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Ada bantuan buat FAM selagi TMJ ada'
Diterbitkan:  Nov 29, 2017 5:07 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Ampersand Sports Sdn Bhd yang bertanggungjawab mencari penajaan Liga Malaysia mengatakan bahawa agensi itu mahu membantu bola sepak tempatan kerana yakin dengan kebolehan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pengerusinya Tan Sri Vincent Lee Fook Long malah berkata beliau akan tarik diri sekiranya Tunku Ismail melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM.

“Sekiranya Tunku Ismail berundur dalam tampuk pemerintahan bola sepak negara ini, kami juga sedia untuk menarik diri,” katanya.

Lee berkata demikian ketika majlis menandatangani perjanjian hak penajaan Liga Malaysia di antara Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan Ampersand Sports di Hotel Thistle, Johor Bahru semalam.

“Apa pun kami percaya dengan perjanjian yang dimeterai ini, kami akan terus membantu FMLLP dan juga FAM bagi membantu Tunku Ismail menaikkan imej bola sepak tempatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dalam majlis tersebut Ampersand dilantik sebagai agensi eksklusif bagi hak penajaan pertandingan dan dijangka menyasarkan sumber penajaan sekurang-kurangnya RM104 juta untuk lima tahun bermula tahun depan.

Menurut Lee, pihaknya tidak mengikuti rapat mengenai bola sepak tempatan namun mula tertarik untuk mengambil bahagian selepas teruja dengan misi dan visi Tunku Ismail dalam memajukan bola sepak negara.

Lee berkata, syarikat miliknya mempunyai teknologi dan kepakaran untuk mengembangkan sumber tajaan sebagaimana yang dilakukan di beberapa liga luar seperti Indonesia.

Pengerusi Ampersand itu menjelaskan mereka sudah mengenal pasti 10 hingga 12 penaja yang bersedia menaja saingan Liga M pada musim depan namun masih belum boleh mendedahkannya dalam masa ini.

“Biar kami muktamadkan dahulu dan akan membuat pengumuman tidak lama. Pembabitan kami hanya disebabkan atas dasar kepercayaan terhadap kredilibiti Tunku selaku presiden FAM,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan terdapat konspirasi 'menjatuhkan' Tunku Ismail dari jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bagaimanapun meletakkan keyakinan kepada presiden FAM itu dan menyifatkan sekiranya konspirasi itu benar, ia adalah "kerja gila".

Lihat Komen
ADS