Villas-Boas bakal jadi pemandu kereta lumba?
Dia pernah menjadi antara pengurus yang disegani. Kelab yang dikendalikannya pula bukan calang-calang.
Namun kini Andre Villas-Boas berteka-teki tentang masa depannya.
Khabar terbaru, dia melepaskan jawatan di kelab Shanghai SIPG dan bercadang untuk keluar dari dunia bola sepak, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Nama Villas-Boas disebut-sebut di England sejak akhir-akhir ini. Antaranya dia dikhabarkan bakal mengisi kekosongan yang hadir selepas Ronald Koeman dipecat Everton pada Oktober lalu.
Namun Villas-Boas menegaskan dia tidak bercadang kembali ke England. Mungkin pengalamannya bersama Chelsea dan Tottenham Hotspur sebelum ini membuat dia serik.
Menariknya dia enggan menyatakan dengan jelas perancangan masa depan.
Cuma suatu ketika dulu Villas-Boas mendedahkan dia mahu bersara terus daripada sukan bola sepak - atau sebagai pengurus - apabila berusia 40 tahun.
Sekarang dia memang berusia 40 tahun.
Sebenarnya selain bola sepak, keghairahan lain Villas-Boas ialah sukan pemotoran.
Semasa menjadi pengurus The Blues antara 2011 dan 2012, dia pernah bercakap mengenai impiannya menyertai pertandingan lumba Rali Dakar yang mencabar itu pada suatu hari nanti.
Sementara itu laporan media dari Portugal - negara kelahiran Villas-Boas - mendakwa dia sudah menandatangani kontrak untuk menyertai perlumbaan itu bagi edisi tahun depan.
Sebelum meletak jawatan kelab bimbingan Villas-Boas itu kalah kepada kelab setempat, Shanghai Shenhua 0-1.
Untuk rekod Shanghai SIPG berada di tempat kedua Liga Super China dengan 58 mata daripada 30 perlawanan, manakala Shanghai Shenhua di tempat ke-11 dengan 35 mata.
Pendahulu liga ialah kelab di bawah kendalian bekas bintang Real Madrid dan Juventus, Fabio Cannavaro, iaitu Guangzhou Evergrande FC yang mengumpul 64 mata.
Selain Spurs dan Chelsea Villas-Boas juga pernah mengemudi kelab gergasi Portugal, Porto, dan Zenit Saint Petersburg (Russia).

