Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
BAM hormati hasrat Chong Wei untuk berehat
Diterbitkan:  Nov 30, 2017 6:44 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria akur dan menghormati keputusan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk berehat seketika selepas aksi pusingan akhir siri super di Dubai, Disember ini.

Mohamad Norza berkata Chong Wei mempunyai jadual yang tersendiri berpandukan kepada kejohanan-kejohanan pilihan yang ingin beliau sertai dan BAM sendiri telah bersetuju terhadap perkara berkenaan.

"Chong Wei beritahu memang dia nak berehat tetapi berehat dari segi kejohanan-kejohanan penting namun kejohanan sedia ada seperti Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia itu memang kita sudah cadangkan beliau untuk mengetuainya.

"Saya menghormati keinginan Chong Wei untuk berehat selepas pusingan akhir siri super di Dubai yang ingin meluangkan masa bersama keluarga," katanya kepada pemberita selepas pelancaran liga badminton remaja AirAsia-BAM peringkat negeri Selangor di Kuala Lumpur, hari ini.

Chong Wei yang menamatkan penantian selama lapan bulan tanpa kejuaraan dengan menjuarai Terbuka Hong Kong minggu lepas, mengambil keputusan untuk berehat panjang bagi meluangkan masa bersama keluarga sebelum fokus dengan kejohanan besar pada tahun depan iaitu Seluruh England pada Mac.

Sementara itu, Mohamad Norza menjelaskan BAM akan menampilkan skuad terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Thomas yang bermula pada Februari depan di Alor Setar, Kedah.

"Saya menjangkakan Chong Wei akan mengetuai pasukan bagi menghadapi pusingan kelayakan dan pusingan akhir Piala Thomas manakala senarai pemain yang lengkap akan diketahui Januari nanti," katanya.

Pusingan akhir Piala Thomas dijadual berlangsung pada 20 hingga 27 Mei 2018 di Bangkok, Thailand. -Bernama

Lihat Komen
ADS