Beregu wanita terus cemerlang di Korea Masters
Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean meneruskan rentak cemerlang apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Korea Masters selepas menyingkirkan wakil tuan rumah pada saingan suku akhir hari ini.
Selepas membenam pilihan utama Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand pada pusingan kedua semalam, beregu nombor dua negara itu hanya memerlukan masa 29 minit untuk mengalahkan Chae Yoo Jung/Kim Hye Rin dari Korea Selatan, 21-17, 21-8.
Pada pertemuan di Gimnasium Yeomji, Gwangju City itu, beregu negara mengambil masa untuk membaca rentak lawan apabila ketinggalan 3-8 sebelum bangkit semula untuk memenangi set pertama dengan 21-17.
Selepas mendapat rentak, Chow Mei Kuan/Meng Yean tidak menghadapi masalah pada set kedua apabila dengan mudah mengecewakan beregu Korea itu dengan 21-8.
Pada saingan separuh akhir esok, Mei Kuan/Meng Yean akan menentang pemenang pertemuan antara beregu Korea Selatan, Kim So Yeong/Kong Hee Yong dan Liu Xuanxuan/Xia Yuting dari China.
Mei Kuan/Meng Yean merupakan satu-satunya wakil tunggal negara mara ke peringkat separuh selepas semua pemain lain terkandas di pusingan kedua semalam. -Bernama

