Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Selangor sah ikat 8 pemain Piala Presiden Indonesia
Diterbitkan:  Dec 2, 2017 12:50 PM
Dikemaskini: 5:01 AM

Juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor, mengikat lapan pemain Piala Presiden dan dua pemain muda daripada pasukan kebangsaan Indonesia, bagi memantapkan pasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal hari ini mengesahkan bahawa, skuad Gergasi Merah telah menandatangani kontrak dengan kapten pasukan Bawah-23 tahun negara itu yang meraih pingat gangsa Sukan SEA, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.

Kedua-dua pemain itu sebelum ini bermain untuk kelab Bhayangkara FC yang meraih gelaran sulung Liga 1 Indonesia pada musim ini.

Subahan berkata Selangor turut membawa masuk penyerang muda berusia 21 tahun dari Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj, selain melanjutkan kontrak penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia, 32, untuk memperkuatkan jentera serangan.

“Kita memang nak pamerkan ramai pemain muda, khususnya daripada pasukan Piala Presiden yang muncul juara tahun ini dan Selangor tidak pernah ketandusan bakat muda. Kita pun sedia maklum bahawa banyak bakat dari Selangor dieksport ke negeri-negeri lain, maka kami percaya kepada bakat muda dan bergantung kepada ketua jurulatih (P. Maniam) untuk membentuk mereka.

“Saya yakin langkah ini dapat memantapkan pasukan kebangsaan kerana jika mereka diberi peluang dan pendedahan, mereka mampu beraksi untuk pasukan kebangsaan nanti. Evan dan Ilham pula merupakan pemain B-23 Indonesia, tetapi mereka sudah pun beraksi untuk pasukan kebangsaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Datuk Chu Ah Nge ke-13 di Kelab Diraja Selangor (RSC), Bukit Kiara di Kuala Lumpur, hari ini.

Subahan yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, skuad itu juga mungkin tidak akan memenuhkan lima kuota import yang diberikan atas faktor kewangan.

“Sekarang kita dah ada tiga pemain import dan mungkin akan ikat seorang lagi pemain sahaja, walaupun dibenarkan untuk guna lima pemain import. Ini kerana Selangor adalah antara beberapa pasukan yang mencari sendiri dana daripada pihak swasta dan ia bukan senang. Maka kita kena belanja mengikut kemampuan,” katanya.

Evan, 22, perancang tengah yang menerima gelaran ‘Anak Ajaib’, yang membantu kelab Bhayangkara FC meraih gelaran sulung Liga 1, pernah beraksi sebanyak 22 kali untuk skuad B-23 Indonesia dan 12 kali bersama skuad kebangsaan.

Rakan sepasukannya, Ilham, 21, yang boleh beraksi di posisi penyerang dan sayap, mempunyai 11 penampilan bersama skuad B-23 dan satu penampilan untuk skuad senior.

Selangor menamatkan saingan Liga Super di tempat keenam dengan 33 mata, hanya ketinggalan enam mata di belakang Felda United yang menduduki tempat ketiga, serta mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. -Bernama

Lihat Komen
ADS