Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Tak pernah bosan lawan Gunners ni'
Diterbitkan:  Dec 3, 2017 5:58 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Penyokong pasukan Manchester United (MU) ternyata berasa gembira benar apabila pasukan itu berjaya menumbangkan The Gunners dalam perlawanan sengit di London awal pagi tadi.

Selain peminat tegar The Red Devils, kegembiraan sama turut dizahirkan salah seorang penyokong tegar kelab itu, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam tweetnya hari ini Najib berkata MU tetap menang walaupun beliau memberi pandangan sebelum atau semasa perlawanan berlangsung.

"Menang kan? Ada pula kata tiap kali saya tweet mesti @ManUtd kalah," katanya.

Kata perdana menteri juga beliau membaca tweet yang ditujukan kepadanya sebelum ini.

"Jangan ingat saya tak baca. #GGMU," katanya lagi.

Dalam perlawanan bermula jam 1.30 pagi tadi (waktu Malaysia) kelab kendalian Jose Mourinho berjaya menamatkan tuah Arsenal di Stadium Emirates, London, apabila menundukkan mereka 3-1.

Ketika kedudukan 2-0, Arsenal yang dibimbing Arsene Wenger kelihatan berpotensi sekurang-kurangnya mencuri mata seri.

 

 

Secara keseluruhan Arsenal menguasai 75 peratus bola berbanding MU namun kecekapan pencaga gol kelab itu, David de Gea, berjaya mengekang asakan bertubi-tubi diketuai Alexis Sanchez dan Mesut Ozil.

Sebelum ini sesetengah pihak menyindir kelab MU akan kalah jika Najib memberi pandangan atau menunjukkan sokongan.

Terdahulu beliau juga menyatakan, setiap kali MU bertemu Arsenal, nostalgia jaringan Ryan Giggs pada 18 tahun lalu kembali menjelma di ingatannya.

"Tak pernah bosan lawan Gunners ni. #GGMU," katanya.

Kemenangan MU awal pagi tadi membolehkan kelab berkenaan berada di kedudukan kedua di belakang Manchester City dengan perbezaan lima mata.

Arsenal pula terpaksa berpuas hati di tempat kelima dengan 28 mata, dan dibezakan satu mata dengan kelab Liverpool yang berada di tempat keempat.

Untuk rekod salah seorang penyokong tegar Arsenal ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Lihat Komen
ADS