Safiyah raih perak kedua M'sia dalam kejohanan boling dunia
Pemain boling elit wanita negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman memperoleh pingat perak kedua buat Malaysia dalam Kejohanan Boling Dunia 2017 berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Sabtu (Ahad di Malaysia).
Pemenang pingat perak Piala Dunia 2017 itu, melakukan 5,048 jatuhan pin di dalam kesemua acara melibatkan acara individu, beregu, trio dan lima berpasukan, menurut laman sesawang kejohanan, http://2017wc.worldbowling.org.
Pemain boling Amerika Syarikat, Danielle McEwan memenangi pingat emas bagi kesemua acara dengan 5,126 jatuhan pin sementara wakil Taiwan, Tsai Hsin-Yi yang melakukan 5.017 jatuhan pin membawa pulang pingat gangsa dalam kejohanan tahunan yang berlangsung di South Point Bowling Plaza.
Terdahulu, Siti Safiyah dan empat lagi wakil negara – Esther Cheah, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Shalin Zulkifli layak ke separuh akhir acara lima berpasukan menerusi 6,227 jatuhan pin dalam enam permainan.
Singapura di tempat teratas dalam pusingan kelayakan selepas melakukan 6,325 jatuhan pin, diikuti Colombia di tempat ketiga dengan 6,167 jatuhan pin sementara Korea Selatan di tempat keempat dengan 6,140 jatuhan pin.
Pingat perak beregu wanita negara
Untuk rekod, Malaysia memenangi pingat perak menerusi Shalin dan Sin Li Jane dalam acara beregu wanita.
Bagaimanapun, pasukan lelaki negara terdiri daripada Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Timmy Tan dan Alex Liew terkandas selepas hanya menduduki tempat keenam daripada 36 pasukan dengan 6,089 jatuhan pin.
Colombia menduduki tempat teratas dalam pusingan kelayakan dengan 6,246 jatuhan pin, diikuti oleh Denmark di tempat kedua dengan 6,225 jatuhan pin, Taiwan di tempat ketiga dengan 6,207 jatuhan pin sementara Amerika Syarikat di tempat keempat dengan 6,204 jatuhan pin.
Hanya pasukan empat teratas bagi kategori lelaki dan wanita layak mara ke separuh akhir, pada Ahad.
-Bernama

