Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pasukan boling wanita sasar emas Sukan Asia
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 5:26 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Selepas tampil cemerlang memenangi pingat emas acara berpasukan wanita pada Kejohanan Boling Dunia, skuad negara lebih optimis untuk mengulangi kejayaan yang sama pada temasya Sukan Asia di Indonesia tahun depan.

Pemain elit negara, Shalin Zulkifli berkata kemenangan di Kejohanan Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat, minggu lepas, membakar semangat pasukan negara supaya lebih konsisten untuk melakar kejayaan bersejarah di peringkat Asia.

“Sasaran kami selepas ini sememangnya Sukan Asia. Selepas berjaya menewaskan Singapura pada Kejohanan Dunia, kami lebih positif untuk meneruskan prestasi yang lebih baik di Sukan Asia nanti,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama-sama skuad negara di Sepang, hari ini.

Malaysia yang diketuai Shalin, Siti Safiyah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita, tiga pingat perak disumbangkan oleh Shahlin dan Lin Jane (beregu wanita), Li Jane (masters wanita) dan Siti Safiyah (keseluruhan wanita).

Kejayaan pingat emas itu adalah kali ketiga buat pasukan negara selepas Kejohanan Dunia di Monterrey, Mexico pada 2007 dan edisi di Kuala Lumpur pada 2003.

Shahlin berkata beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian pasukan sepanjang tahun ini apabila meraih keputusan cemerlang dalam dua kejohanan besar iaitu Sukan SEA Kuala Lumpur dan Kejohanan Dunia.

Selepas ini, skuad tersebut akan menggalas cabaran negara pada Kejohanan Boling Profesional di Korea Selatan pada minggu depan sebagai kejohanan terakhir tahun ini.

Sebagai persiapan bagi Sukan Asia, katanya, skuad negara akan menyertai kejohanan di Sweden dan Finland pada awal tahun depan dan Cabaran Europah pada Mac serta beberapa kejohanan antarabangsa yang lain.

Sementara itu Li Jane berkata secara keseluruhan beliau menyifatkan skuad wanita menampilkan prestasi lebih cemerlang dan konsisten pada tahun ini.

Beliau berkata semangat sepasukan banyak membantunya meraih pingat perak dalam acara beregu dan masters wanita di Kejohanan Dunia.

“Daripada dulu lagi kami memang tidak pernah putus asa untuk menang pingat emas dalam acara berpasukan, saya berbangga akhirnya impian kami tercapai tahun ini,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS