Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
KL, T'ganu, PKNP, NS lulus lesen liga Super 2018
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 5:35 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Empat pasukan dari Liga Perdana 2017 iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, PKNP FC dan Negeri Sembilan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan telah lulus dalam permohonan mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu hari ini berkata, surat kelulusan lesen telah dikeluarkan selepas kesemua pasukan terbabit berjaya melepasi penilainan yang dibuat berdasarkan enam kriteria utama dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan.

Bagaimanapun, menurut Hamidin hanya dua pasukan iaitu Kuala Lumpur dan Terengganu sahaja yang telah diberikan tempoh lanjutan selama dua minggu untuk melengkapkan segala dokumen yang diperlukan.

“Mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM telah meniliti semua dokumen dihantar pasukan-pasukan terbabit dan mendapati pasukan PKNP FC dan Negeri Sembilan berjaya lulus enam kriteria utama yang ditetapkan itu.

“Kuala Lumpur dan Terengganu pula telah diberi tempoh lanjutan selama dua minggu sehingga 30 November 2017 untuk mereka melengkapkan dokumen yang diperlukan dan akhirnya sebelum tarikh tutup berkenaan, kedua-dua pasukan berjaya juga untuk menghantarnya dengan lengkap,” kata Hamidin dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengucapkan tahniah serta meluahkan rasa gembira dengan komitmen yang ditunjukkan kesemua pasukan terbabit sepanjang dalam tempoh proses permohonan mendapatkan lesen berkenaan.

“Tahniah kerana telah berjaya memperoleh Lesen Kelab FAM ini di atas usaha pihak pengurusan masing-masing yang telah memberi komitmen sepenuhnya dalam memastikan permohonan mereka berjaya. Selamat maju jaya kepada keempat-empat pasukan ini bagi menghadapi saingan Liga Super 2018,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS