Raja bangga dengan penganjuran Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa bangga dengan penganjuran Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra (Perlis/Milo) kali ke-37 yang juga kejohanan paling lama dipertandingkan di negara ini.
Baginda turut menzahirkan terima kasih kepada Jawatankuasa Persatuan Tenis Perlis yang bekerja keras menjayakan kejohanan tersebut.
“Kejohanan ini menjadi platform terbaik bagi memajukan sukan pelancongan di Perlis selain mempromosi keindahan alam semulajadi dan perkembangan industri pelancongan di negeri ini,” titah baginda yang berkenan berangkat melancarkan kejohanan itu di Dewan 2020 di Kangar, malam tadi.
Berangkat sama pada majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin yakin ramai jaguh tenis di rantau Asia pernah berentap pada kejohanan semasa zaman remaja.
“Ini menunjukkan kejohanan ini merupakan medan untuk mencungkil dan memupuk bakat muda. Beta berharap Persatuan Tenis Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri dengan tajaan daripada syarikat Nestle, hendaklah memastikan kejohanan ini terus dihidupkan,” tambah baginda.
Kejohanan yang bermula pada 5 hingga 9 Dis itu dilangsungkan di 16 gelanggang di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar dan Kompleks Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi MARA (UiTM), Arau.
Kejohanan itu mempertandingkan kategori bawah umur 18, 16, 14, 12, 10 dan 8 tahun lelaki dan perempuan membabitkan acara perseorangan serta beregu.
Seramai 231 pemain dari beberapa negara antaranya Tajikistan, Nepal, Indonesia, Uzbekistan, Thailand, Kazakhstan, Singapura, Korea Selatan, Filipina, Hongkong dan tuan rumah Malaysia menyertai kejohanan itu.
- Bernama

