Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tahniah Cheng Hoe
Diterbitkan:  Dec 7, 2017 9:23 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Bekas jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe hari ini dilantik mengisi kerusi panas sebagai pengendali skuad Harimau Malaya menggantikan Nelo Vingada.

Pelantikan itu diumumkan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sebentar tadi.,

"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas perlantikan beliau menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya yang baru," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Vingada mengambil tanggungjawab dengan mengundurkan diri daripada tugas itu susulan prestasi tidak memuaskan Harimau Malaya.

Sepanjang mengendalikan skuad kebangsaan sejak Mei lalu anak buah Vingada mencatat lima kekalahan dan dua kali seri.

Sementara itu, Cheng Hoe yang juga penolong jurulatih sebelum ini dilihat individu paling layak mengisi kekosongan itu di kalangan jurulatih tempatan.

Ia susulan kejayaan yang dilakar anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu bersama skuad Helang Merah sebelum ini.

Sibuk suruh berhenti

Sementara itu reaksi peminat yang memberi komen kepada pengumuman Hamidin menampakkan pola positif dan memberi harapan tinggi kepada Cheng Hoe ketika prestasi skuad negara ketika ini masih belum memuaskan ramai.

Malah beberapa peminat kelihatan mengalu-alukan pelantikan itu berdasarkan keyakinan mereka kepada kemampuan jurulatih tempatan berbanding import.

Ketika ini skuad Harimau Malaya berada di kedudukan ke-174 dalam ranking Fifa, di belakang Kosovo dan di atas St Lucia.

"Tahniah. Satu saja harapan untuk TCH - semoga pemilihan skuad dibuat sebaik mungkin. Ambillah pemain yang betul-betul berkemampuan bermain untuk negara," kata Nik Mohd Shahril Izwan di Facebook FAM.

Mohamad HazRani Harun pula menulis: "Bersedia rakyat Malaysia untuk tengok Harimau Malaya main tiki taka yang pernah TCH terapkan semasa melatih Kedah.. terbaikk TCH."

Harapan sama turut dinyatakan Zawawi Awang Abdullah.

"Tahniah Tan Cheng Hoe. Harap ada perubahan dari segi taktikal. Harap Malaysia main tiki taka lepas ni," tulisnya.

Sementara itu Muhammad Yassin melontarkan pertanyaan: "Soalan hari ini berapa lama boleh tahan? Saya sebenarnya tak kisah kalau dia jadi coach pasukan kebangsaan. Malah semasa dia jadi coach kedah pun rekod dia OK. Cuma yelah... sesetengah orang Malaysian ni tak boleh sabar. Baru kalah tiga empat perlawanan dah sibuk suruh letak jawatan. Takut tak sempat nak laksanakan pelan yang dia dah reka, sibuk suruh berhenti."

Lihat Komen
ADS