Menceriakan suasana yang tebal dengan semangat perjuangan bangsa Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak secara bergurau mendakwa beliau "sakit jiwa" apabila ada pihak mendedikasikan sokongan dengan ungkapan "you will never walk alone".

Sambil tersenyum Najib berkata beliau "sakit jiwa" dengar ungkapan berkenaan.

"Khairy (Jamaluddin) pun sakit jiwa," katanya merujuk kepada slogan yang terkenal di kalangan penyokong kelab Liverpool itu.

Untuk rekod kedua-dua tokoh terbabit dikenali penyokong tegar satu lagi kelab elit di EPL, Manchester United.

Slogan bagi kelab itu ialah We Are United dan Glory Glory MU.

Bagaimanapun kata Najib semasa menyampaikan ucapan penggulungan, seorang ketua bahagian di Kelantan mendedikasikan slogan lain kepada beliau.

"Dia kata, Datuk Seri you are not lonely (anda tidak kesunyian)..." katanya sambil disambut tepukan dan ketawa orang ramai.

Terdahulu Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati (gambar) menggunakan slogan Liverpool untuk menggambarkan sokongan padu pergerakan itu kepada Najib.

Slogan itu juga katanya membayangkan kecekalan serta ketaatan Liverpool yang sentiasa bersama pasukan.

"Walaupun zaman kegemilangan mereka telah berakhir pada tahun 90-an, tetapi mereka masih berpegang teguh pada taat setia dan semangat berpasukan.

"Semangat inilah yang kita harus contohi buat semua ahli Umno," katanya.