Penganjur marathon antarabangsa di Klang berdepan tindakan
Penganjur acara Maraton Antarabangsa Bandar Klang yang dilaksanakan tanpa kebenaran Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan dikenakan tindakan undang-undang.
Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, Pesuruhjaya Sukan Malaysia Datuk Zaiton Othman berkata beliau turut kesal dengan kemalangan melibatkan tiga pelari yang dilanggar sebuah kereta pagi semalam.
Katanya tindakan akan diambil menurut Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997.
“Sebarang penganjuran acara sukan perlu mendapat kebenaran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan seperti termaktub dalam akta tersebut, selain mendapat kebenaran daripada badan pengelola sukan terbabit, polis serta pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Zaiton juga berkata lesen itu perlu bagi memastikan penganjur berkemampuan dari segi kewangan, teknikal serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan badan pengelola sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kata Zaiton pihaknya tidak menerima sebarang permohonan lesen untuk penganjuran larian tersebut daripada mana-mana pihak.
Katanya bermula Khamis ini Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan memuat naik senarai acara sukan yang diberi kebenaran untuk dilaksanakan oleh pihaknya di laman web Kementerian Belia dan Sukan di kbs.gov.my.
Dalam kejadian 4.30 pagi semalam, seorang pelari parah manakala dua lagi cedera selepas dilanggar sebuah kereta dari arah belakang di Batu 2 Jalan Jalan Kapar.
Mangsa dan peserta lain memulakan larian berkenaan dari Stadium Pandamaran, Klang.
- Bernama

