Tiga pemain muda JDT bakal menimba pengalaman bola sepak di peringkat antarabangsa apabila mereka dihantar sebagai pemain pinjaman kepada kelab bola sepak Portugal.

Melalui kerjasama dengan kelab bola sepak yang berpangkalan di Eropah itu, JDT bakal menghantar tiga pemainnya setiap tahun ke Portugal untuk bermain bersama kelab tersebut.

“Satu kerjasama antara JDT dan kelab bolasepak di Portugal telah dipersetujui di mana JDT dapat menghantar tiga pemain setiap tahun ke sana untuk bermain bersama kelab tersebut sebagai pemain pinjaman.

“Nama kelab tersebut akan didedahkan sebaik sahaja pihak pengurusan menandatangani kontrak secara rasmi.

“Muhammad Syamer Kutty merupakan salah seorang pemain pertama yang akan dipinjamkan untuk menimba pengalaman di kelab tersebut,” kata kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Selain pemain tengah Syamer Kutty Abba, dua nama lain yang turut dilaporkan media bakal terlibat dengan projek itu adalah pemain pertahanan Hasbullah Abu Bakar serta penyerang Syafiq Ahmad.

Sebelum ini, JDT pernah cuba melaksanakan projek serupa namun tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab teknikal.

Percubaan sebelum ini membabitkan pemain tengah bertahan, Harris Harun ke Sepanyol serta perancang tengah, Nazmi Faiz Mansor yang dijadual dipinjamkan ke sebuah kelab di Jepun.

"Berkenaan Hariss Harun, kelab terdahulu mempunyai masalah hutang di Sepanyol dan tidak dibenarkan untuk menandatangani mana-mana pemain luar negara.

"Manakala Nazmi Faiz pula adalah kerana kelab memerlukan beliau dalam pasukan bagi membantu Safiq Rahim," katanya seperti dipetik Berita Harian Online.

JDT bagaimanapun yakin dengan projek kali ini kerana memiliki hubungan kerjasama dengan kelab Portugal terbabit.

"Pemain Malaysia tidak dianggap sebagai pemain luar negara di kelab Portugal dan perbezaan kelab ini dengan yang lain adalah JDT bakal memiliki hubungan kerjasama dengan kelab terbabit," katanya.