Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Khairy arah MSN bantu 3 sukan digugurkan
Diterbitkan:  Dec 16, 2017 4:46 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Majlis Sukan Negara (MSN) telah diarahkan untuk membantu tiga sukan yang telah digugurkan daripada senarai sukan teras bagi membolehkan badan induk persatuan terlibat merangka program pembangunan yang lebih mantap di bawah kelolaan masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata , beliau telah meminta Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk mengadakan perjumpaan dengan wakil tiga sukan berkenaan iaitu angkat berat, taekwondo dan sepak takraw dalam tempoh terdekat.

"Apabila sesuatu sukan itu digugurkan dari sukan teras, ia tidak bermakna sukan itu diabaikan.

"Oleh itu, kita telah minta MSN memikirkan apakah cara untuk kita menyelamatkan sukan tersebut dan pengguguran (tiga sukan) berkenaan atas beberapa faktor (seperti) prestasi yang tidak baik, kemelut dalaman (persatuan), masalah doping dan sebagainya," jelas Khairy.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pengguguran tiga sukan berkenaan merupakan isyarat jelas kepada badan induk sukan berkenaan untuk memperbaiki segala kelemahan yang wujud bagi membolehkan ia disenaraikan kembali dalam sukan teras pada masa akan datang.

"Ada orang tanya kenapa hanya isyarat seperti ini (digugurkan dari sukan teras)...Kalau kita tidak hantar isyarat seperti ini, mereka (persatuan sukan terlibat) tidak akan sedar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antarabangsa Piala SuperMokh, di Kuala Lumpur hari ini. .

"Kalau saya tidak gugurkan sukan berkenaan daripada Sukma (Sukan Malaysia) yang jadi pertikaian hangat, kita akan dapat kecaman daripada ibu bapa," jelas Khairy sambil mendakwa pembangunan yang tidak terurus turut menyumbang kepada faktor pengguguran tiga sukan berkenaan.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan pengguguran tiga sukan berkenaan daripada senarai sukan teras selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan MSN.

Keputusan tersebut menyaksikan ketiga-tiga sukan berkenaan tidak akan dipertandingkan pada Sukma 2018 di Perak.

Sebagai rekod, Program Sukan Teras bermula pada 2005 dengan tujuan menambah penyertaan atlet dalam lapan sukan yang disenaraikan ketika itu - olahraga, akuatik - renang dan terjun, boling, bola sepak, badminton, hoki, skuasy dan gimnastik.

Tiga tahun kemudian, MSN menambah 11 jenis sukan lagi - memanah, berbasikal, boling padang, karate, silat, menembak, sepak takraw, taekwondo, angkat berat serta wushu sekali gus menjadikan keseluruhan 19 sukan teras. -Bernama

Lihat Komen
ADS