Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan peringkat kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sehingga tahun 2020.

Ia berikutan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM melarang PBNP memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun bermula 2018.

Lesen itu bagi membolehkan mereka menyertai mana-mana kejohanan AFC pada tahun 2019 dan 2020 selepas skuad Tok Gajah berdegil tidak mahu menyertai Piala AFC 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, berkata Pahang melanggar Artikel 14 (obligasi ahli) Statut FAM dengan gagal mematuhi arahan badan itu supaya mendaftarkan pasukan terbabit untuk bermain dalam pertandingan Piala AFC tahun depan walaupun menduduki tempat kedua Liga Super 2017.

PBNP juga mempunyai kelulusan Lesen Kelab AFC yang melayakkan skuad Tok Gajah beraksi pada saingan peringkat benua itu.

“Mengikut peruntukan Artikel 14 Statut FAM - obligasi ahli menuntut pasukan mematuhi sepenuhnya statut, peraturan, arahan dan keputusan Fifa, AFC dan FAM pada setiap masa.

"Pahang juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama, namun keputusan ini boleh dirayu,” katanya menerusi kenyataan.

Tendang pembantu pengadil

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pula dikenakan denda sebanyak RM35,000 secara keseluruhan, bermain dua perlawanan tanpa penonton dan diberi amaran keras bagi empat pertuduhan melibatkan kekecohan selepas aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan JDT di Stadium Perak, Ipoh 15 Okt lepas.

“Jawatankuasa ini juga memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 kod ini iaitu hukuman bermain tanpa penonton yang kedua seperti yang dinyatakan di atas ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada tiadanya kesalahan yang sama merujuk kepada Artikel 68 kod ini berulang,” katanya.

Hukuman bermain tanpa penonton untuk perlawanan kedua akan dikuatkuasakan serta-merta jika Perak didapati mengulangi kesalahan yang sama dalam tempoh setahun dari 20 Dis 2017.

Jawatankuasa itu turut mengenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan, denda sebanyak RM1,500 serta diberi amaran keras kepada pemain Terengganu City FC, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, yang berkelakuan ganas dengan menampar pemain pasukan Felcra FC, Ammar Akhmal Alias, pada aksi suku akhir kedua Piala FAM di Arena UM pada 27 Sept lalu.

Dua lagi pemain Terengganu City FC, Shafuan Adli Shaari dan Syam Shahril Ghulam pula masing-masing dikenakan penggantungan lima perlawanan, denda sebanyak RM3,000 serta diberi amaran keras kerana akibat bertindak tidak bersemangat sukan dengan masuk ke padang permainan dan mengejar pengadil perlawanan, Abd Rahman Wahab pada perlawanan itu.

“Jurulatih penjaga gol Terengganu City FC, Zulkipli Ismail dikenakan hukuman penggantungan daripada terlibat dalam perlawanan rasmi dan tidak rasmi iaitu perlawanan Liga Malaysia dan perlawanan persahabatan selama enam bulan bermula semalam hingga 19 Jun 2018, didenda sebanyak RM5,000 serta diberi amaran keras.

“Ia akibat daripada tindakannya berkelakuan ganas dengan mengejar dan menendang penolong pengadil 1 (Mohd Khairul Nizam Radzali) di bahagian betis sebelah kaki kiri pada perlawanan sama. Kesemua keputusan ini boleh dirayu,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS