Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pablo Aimar kenang JDT
Diterbitkan:  Dec 24, 2017 10:58 PM
Dikemaskini: 3:07 PM

Laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini memuatnaik kenyataan bekas pemain kebangsaan Argentina yang pernah menyarung jersi Johor Darul Takzim (JDT), Pablo Aimar, yang ditujukan khas buat kelab itu.

Aimar yang bermain di posisi tengah mewakili Argentina dalam Piala Dunia 2002 dan 2006, menyertai JDT untuk musim 2013-2014.

"Saya sudah lama ingin menulis sesuatu kepada anda. Terutama untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua atas layanan yang diberikan," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan laman itu.

Mengucapkan penghargaan khas kepada pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau mengenang kembali tempoh singkatnya bersama JDT.

"Saya dan keluarga berasa sangat selesa dalam segala perkara, sama ada dalam sukan dan juga peribadi. Ia adalah satu peringkat kerjaya yang kekal selama-lamanya sebagai ingatan yang tak dapat dilupakan."

Mengikat kontrak selama dua tahun pada Ogos 2013, Aimar yang ketika itu berusia 34 tahun hanya sempat beraksi dalam lapan perlawanan dan menjaringkan dua gol, sebelum masalah kecederaan menyebabkan beliau terpaksa dilepaskan pada April 2014.

Katanya, 'projek JDT' ketika itu baru sahaja bermula dan sedang membentuk asas yang kukuh, namun kini telah menjadi sebuah pasukan yang hebat dengan pelaburan yang besar dan kemudahan kelas pertama.

Baginya, kejayaan demi kejayaan yang diraih JDT kini adalah hasil usaha keras seluruh pasukan dan wajar menjadi kebanggaan.

"Ia tidak mudah untuk mencapai pencapaian begitu banyak...mencipta banyak jaringan gol tetapi sentiasa bertahan dan memiliki pertahanan terbaik.

"Semua ini menunjukkan persembahan peringkat tertinggi secara kolektif dan juga individu," katanya lagi yang berhasrat melawat kelab itu pada masa akan datang.
 

Lihat Komen
ADS