Pemain N Sembilan terima RM100,000 setiap seorang
Pemain Negeri Sembilan akan menerima durian runtuh RM100,000 setiap seorang setelah muncul juara kategori lelaki Kejohanan Bola Keranjang Piala Agong 2017 di Gem In Mall, Cyberjaya semalam.
Pengurus pasukan Richard Lim Chew Heng berkata insentif itu adalah daripada penaja pasukan Matrix Concepts Holdings Bhd, sebagai tanda penghargaan atas kejayaan melakar sejarah muncul juara dua tahun berturut-turut kejohanan berprestij itu.
"Semoga insentif itu akan menyemarakkan lagi motivasi dan terus membakar semangat pemain serta pasukan untuk terus memberi yang terbaik dalam arena sukan bola keranjang di negara ini.
"Pada tahun lepas, setiap pemain menerima sebuah kereta Toyota Vios, juga sumbangan daripada penajapasukan (Matrix Concepts Holdings Bhd)," katanya kepada Bernama di Seremban, hari ini.
Pada perlawanan akhir itu, Negeri Sembilan yang dibarisi enam pemain kebangsaan menafikan cabaran sengit Melaka 78-64.
Pada separuh akhir, Negeri Sembilan yang dibimbing jurulatih Brian Lester dari Australia mengatasiSarawak 72-51, manakala Melaka pula menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 106-74.
Menerusi kemenangan itu, selain Piala Agong Negeri Sembilan turut membawa pulang hadiah wang tunai wang RM18,000.
Mengenai perancangan selanjutnya, Richard berkata pasukannya akan mengambil bahagian pada liga bola keranjang antarabangsa di Thailand pada Januari hingga Mac 2018.
“Selain itu, kita akan meneruskan latihan dan menyertai pertandingan tempatan dan luar negara bagimemastikan prestasi pemain dan pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Kita mempunyai ramai pemain muda yang tampak lebih bertenaga dan berbakat untuk diketengahkan. Negeri Sembilan tidak pernah ketandusan bakat muda, kita percaya kepada bakat muda ini dan bergantungkepada jurulatih untuk membentuk mereka," katanya. -Bernama

