Juara catur wanita rela hilang gelaran demi protes
Kerana prinsip juara dunia catur wanita Anna Muzychuk lebih rela kehilangan gelaran daripada tunduk kepada peraturan ditetapkan Arab Saudi.
"Dalam beberapa hari saya akan terlepas dua kejuaraan dunia - satu demi satu - hanya kerana saya memutuskan untuk tidak ke Arab Saudi," kata pencatur kelahiran Ukrainian itu seperti dilaporkan media antarabangsa.
Buat masa ini Anna, 27, ditabalkan sebagai juara dunia catur wanita dalam dua kategori iaitu rapid dan blitz.
Untuk kategori rapid seseorang pencatur mesti menamatkan cabaran pesaing dalam tempoh 15 min, manakala blitz pula hanya diberi masa 10 minit.
Dia mengungguli kategori rapid pada 2016 manakala mempertahankan kejuaraan blitz pada 2014 dan 2016.
Dia dilaporkan bersemangat untuk mengekalkan kejuaraan diperolehinya di Doha, Qatar itu pada tahun ini namun dengan peraturan ditetapkan Riyadh, Anna menolak.
Arab Saudi masih dibelenggu peraturan konservatif yang mengehadkan banyak aktiviti terhadap wanita. Untuk tempoh beberapa dekad kerajaan mengharamkan wanita memandu kenderaan.
Musuhi Israel bersahabat dengan AS
Awal tahun lalu Mufti Besar Arab Saudi mengeluarkan fatwa mengharamkan permainan catur kerana menganggap ia membuang masa dan boleh mengundang persaingan sesama peserta.
Pandangan sama juga dikongsi sesetengah ulama Iran yang berpendapat catur membawa kepada amalan berjudi.
Bagaimanapun Riyadh kini dalam proses memperkenalkan beberapa pembaharuan. Wanita mula dibenarkan memandu, manakala pawagam akan mula dibuka pada tahun depan.
Kejohanan Catur Piala Raja Salman itu misalnya membenarkan wanita bukan Islam tidak memakai jubah serta bertudung, sebaliknya memadai berpakaian biru gelap atau hitam, serta blaus yang menutup leher.

Hadiah yang ditawarkan pula dilaporkan bernilai berkali ganda lebih tinggi dari biasa.
Penarikan diri Anna bukanlah satu-satunya kontroversi yang tercetus daripada kejohanan yang bermula Selasa lalu.
Sebelum ini kerajaan Arab Saudi menolak visa untuk pencatur dari Israel. Jurucakap kedutaan negara itu di AS berkata, keadaan hubungan diplomatik antara Riyadh dan Tel Aviv menjadi sebab tiada visa dikeluarkan kepada peserta Israel.
Bagaimanapun untuk rekod Riyadh memang dilihat bermusuh dengan Israel yang ditunjuk menjadi punca kepada krisis di Timur Tengah.
Pada masa sama Arab Saudi adalah sahabat akrab Washington yang selama ini menjadi penyokong serta pembela utama Israel.

Penyertaan pencatur dari Qatar dan Iran dalam kejohanan kali ini juga diragui kerana hubungan diplomati antara Arab Saudi dengan Doha serta Tehran.
Kata Anna turut memulaukan kejohanan di Arab Saudi itu ialah adiknya Mariya, yang juga pencatur profesional.
"Saya enggan ke negara yang tidak melayan wanita setaraf dengan lelaki, di bawah kerajaan yang tidak membenarkan seseorang wanita keluar tanpa diiringi lelaki.
"Saya memutuskan untuk tidak mengikut peraturan ditetapkan seseorang, sekali gus tidak membenarkan saya menjadi makhluk kelas kedua," katanya.
Menurut Anna genap setahun lalu dia menjadi pencatur paling gembira di dunia dengan kejayaannya mengungguli kedua-dua kategori berkenaan.
Namun atas dasar prinsip, katanya, dia rela kejuaraan itu terlepas ke tangan orang lain.
"Walaupun hadiah ditawarkan menyamai nilai beberapa kejohanan catur yang digabungkan," katanya.

