Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Challenge cup' dalam saingan Liga Malaysia 2018
Diterbitkan:  Dec 28, 2017 6:15 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bakal memperkenalkan satu pertandingan baharu di dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018 iaitu ‘Challenge Cup’.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FMLLP Kevin Ramalingam berkata ia bertujuan untuk memastikan setiap pasukan yang gagal melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia dapat bertanding sepanjang musim selain mampu memberi impak positif terhadap perkembangan prestasi pasukan berkenaan.

Kevin berkata pelaksanaan pertandingan itu juga dilihat mampu memberikan peluang kepada pemain muda yang sedang meningkat untuk terus menambah baik prestasi mereka menerusi jumlah perlawanan yang lebih banyak dalam satu musim.

“’Challenge Cup’ ini adalah satu perkara yang telah kita pertimbangkan untuk menambah baik pasukan-pasukan yang tidak bertanding dalam Piala Malaysia. Secara teknikal dan komersial ini adalah satu perkara yang penting untuk jangka masa panjang sesebuah pasukan itu.

Tujuan kita hanya untuk memperbanyak perlawanan kepada pasukan. Kita tidak boleh menghadapi situasi yang mana sebuah pasukan itu hanya bermain 22 ke 23 perlawanan semusim sahaja. Itu tidak sihat untuk pasukan itu sendiri dan juga kepada pemain yang sedang meningkat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Taklimat Pasukan Liga Malaysia 2018 di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, Kevin berkata pelaksanaan ‘Challenge Cup’ itu masih di peringkat awal dan beberapa penilitian kerja masih lagi berjalan bagi memastikan objektif pelaksanaan pertandingan itu tercapai.

“Kita masih lagi sedang memperhalusi mekanisme ‘Challenge Cup’ ini kerana kita sedang meneliti kemungkinan untuk turut memasukkan pasukan yang tersingkir awal daripada saingan Piala Malaysia ke dalam pertandingan tersebut,” kata beliau.

Terdahulu, FMLLP turut merombak format saingan Liga-M bagi musim 2018 dengan saingan Piala Malaysia akan kembali diasingkan selepas dua musim berlangsung seiring dengan perjalanan Liga Super dan Liga Perdana.

Ia menyaksikan format baharu yang digunakan pada musim lepas tidak lagi diterapkan dan kelayakan semua pasukan ke saingan Piala Malaysia akan ditentukan menerusi kedudukan pasukan pada penamat saingan Liga Super dan Liga Perdana. -Bernama

Lihat Komen
ADS