Penyerang Terbaik Liga Malaysia 2017, Shahrel Fikri Fauzi mengesahkan akan berhirah ke Johor Darul Ta'zim II tetapi masih menunggu tawaran rasmi.

Pemain Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) yang menerima trofi Penyerang Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK2017) itu memberitahu kemungkinan besar akan berpindah ke kelab di selatan tanah air.

"Buat masa ini perancangan memang untuk ke Johor Darul Ta'zim II (JDT II). Cuma masih menunggu tawaran rasmi.

"Saya sudah memberi fokus bagi persiapan mental dan fizikal untuk bermain dengan kelab besar," ujarnya kepada mStar Online.

Shahrel yang kini berusia 23 tahun menjadi tumpuan pada saingan Liga Malaysia musim lalu mengakui perpindahan ke pasukan lain untuk mencari pengalaman baharu.

Sebelum ini Shahrel mendedahkan sudah menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain, namun belum membuat sebarang keputusan.

"Saya akan memilih pasukan yang sedia menebus kontrak saya bersama PKNP FC sehingga 2019," ujarnya ketika ditemui pada ABK baru-baru ini.

Dalam pada itu, anak sulung daripada lima beradik ini memberitahu, dia berazam untuk menempatkan diri dalam barisan utama skuad Malaysia pada 2018.

"Untuk itu saya perlu mencapai apa yang diinginkan dan meneruskan kecemerlangan sebelum ini," ujarnya.

Shahrel memberitahu, dia menjadikan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo sebagai idola kerana pemain itu bermula dari bawah.

"Kejayaan meraih trofi penyerang terbaik Liga Malaysia adalah langkah untuk merealisasikan impian saya untuk lebih berjaya. Sebelum ini saya juga terpilih sebagai penyerang terbaik dalam Liga FAM sebelum ke Liga Perdana," tambahnya.