Tiada istilah ikut pintu belakang - Norza

   

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan pasukan negara perlu meraih tiket secara merit untuk beraksi di pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei ini.

Beliau mengakui peluang untuk layak ke Piala Thomas kali ini lebih sukar dan merupakan cabaran hebat buat pemain negara dalam memastikan pasukan berada dalam kelompok empat terbaik pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar dari 6 hingga 11 Feb ini.

"Memang kita boleh berpandukan kepada ranking jika gagal layak secara merit tapi saya mahukan kita raih kedudukan empat terbaik, bukannya layak menggunakan pintu belakang (ranking).

'’Saya tidak mahu pemain ke sana sebagai penumpang ataupun nasi tambah,'’ katanya kepada pemberita ketika selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Malaysia kini menghuni tempat ketujuh dalam ranking dunia di hadapan Indonesia, India serta Hong Kong dan perlu menamatkan Kejohanan Berpasukan Asia di kedudukan empat terbaik bagi mendapatkan slot automatik ke pusingan akhir Piala Thomas.

Sekiranya gagal ke separuh akhir dan tiga pasukan di bawahnya berjaya ke saingan empat terbaik, Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penglibatannya, gagal ke kejohanan Piala Thomas.

Mohamad Norza berkata menurut pembentangan oleh pakar psikologi Institut Sukan Negara (ISN), Dr Tim Jones kepada mesyuarat itu menjelaskan pemain negara mempunyai skil bertaraf dunia namun daripada aspek fizikal pemain sukar untuk mengekalkan kecergasan mereka dalam sesuatu perlawanan.

"Saya yakin Lee Zii Jia mampu menyumbang mata kepada pasukan kerana beliau merupakan pemain kedua terbaik negara selepas Datuk Lee Chong Wei. Prestasi semasa beliau sepanjang tahun lepas juga berada dalam tahap terbaik.

"Kita mengharapkan Tan Wee Kiong-Goh V Shem dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mempamerkan aksi yang terbaik dan menyumbang mata kepada pasukan, jika mereka memberikan persembahan yang bagus serta fokus saya yakin peluang kita ada,” katanya. -Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.